SUKAN
Isu dokumentasi: FAM sifatkan dakwaan FIFA tidak berasas, tegaskan 'ralat pentadbiran'

FAM sedang menyediakan rayuan rasmi menggunakan dokumen sah yang disahkan kerajaan Malaysia.
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan bahawa gambaran yang diberikan dalam keputusan FIFA adalah tidak tepat.
Ringkasan AI
- FAM menegaskan bahawa dakwaan FIFA mengenai pemain memperoleh atau mengetahui dokumen palsu adalah tidak berasas, dan kesilapan berpunca daripada ralat pentadbiran apabila dokumen daripada ejen dimuat naik secara tersilap, bukan dokumen rasmi JPN.
- FIFA mendapati percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal dan dokumen yang dikemukakan FAM bagi tujuh pemain warisan, termasuk Hector Hevel dan Jon Irazabal, serta mengenakan denda RM1.8 juta kepada FAM dan penggantungan 12 bulan serta denda RM11,000 kepada setiap pemain.
- FAM sedang menyediakan rayuan rasmi menggunakan dokumen sah yang disahkan kerajaan Malaysia, dan kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta dan dokumen yang sahih.
"FAM ingin menegaskan bahawa para pemain warisan yang terlibat adalah rakyat Malaysia yang sah.
"Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, kesilapan yang berlaku berpunca daripada wrong submission iaitu ralat pentadbiran (administrative error), apabila seorang kakitangan tersilap memuat naik dokumen daripada ejen dan bukannya dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Rayuan rasmi kini sedang disediakan dengan menggunakan dokumen asal yang sah serta disahkan oleh Kerajaan Malaysia.
"FAM akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung kesimpulan ini, dan kekal komited mempertahankan integriti bola sepak negara berdasarkan fakta serta dokumen sahih," katanya.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Terkini, FIFA mendedahkan bukti penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.
Pendedahan itu dibuat menerusi laporan rasmi Notification of the Grounds of the Decision yang ditandatangani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio yang menyatakan terdapat percanggahan ketara antara sijil kelahiran asal diperoleh FIFA dengan dokumen dikemukakan FAM bagi menyokong kelayakan pemain-pemain berkenaan.
“Sijil kelahiran asal menunjukkan perbezaan ketara berbanding dokumen yang diserahkan,” jelas Palacio dalam keputusan tersebut.
Antara kes yang mencuri perhatian ialah pemain tengah kelahiran Belanda, Hector Hevel, apabila dokumen FAM mendakwa datuknya lahir di Melaka, sedangkan sijil asal menunjukkan tempat lahir sebenar di The Hague, Belanda.
Situasi sama turut berlaku kepada Jon Irazabal, dengan dokumen FAM menyatakan datuknya berasal dari Kuching, Sarawak, sedangkan rekod asal mengesahkan kelahiran di Villa de Guernica, Sepanyol.
Selain itu, semakan FIFA turut mendapati keluarga Gabriel Palmero berasal dari Santa Cruz de la Palma, Sepanyol, manakala datuk kepada Facundo Garcés dilahirkan di Santa Fe de la Cruz, Argentina.
Datuk Rodrigo Holgado pula dilahirkan di Buenos Aires, nenek kepada Imanol Javier Machuca berasal dari Roldan, sementara datuk João Figueiredo berasal dari Abre Campo, Brazil.
Susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi, FAM dikenakan denda RM1.8 juta, manakala setiap pemain terbabit dikenakan denda RM11,000 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Laporan FIFA turut memetik pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa pihaknya tidak pernah menerima sijil kelahiran asal untuk mengesahkan salasilah pemain berkenaan, sebaliknya, hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara.
“Pengakuan ini menunjukkan proses pengesahan kerajaan Malaysia mungkin tidak berasaskan dokumen asal, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelitian prosedur verifikasi FAM,” tegas laporan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami