Isu pemain warisan: FAM sahkan terima keputusan FIFA, akan kemuka rayuan

Mohd Yusoff menegaskan FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan menerima keputusan rayuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menolak rayuan dikemukakan berhubung tindakan disiplin terhadap badan sukan itu serta tujuh pemain warisan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berkata pihaknya akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya, termasuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.
"Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut," katanya dalam kenyataan itu pada Isnin malam.
Mohd Yusoff menegaskan, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, FIFA dalam kenyataan memaklumkan selepas menganalisis hujahan dan mengadakan prosiding, Jawatankuasa Rayuan memutuskan untuk menolak semua rayuan serta mengesahkan sepenuhnya tindakan tatatertib yang dikenakan ke atas FAM dan tujuh pemain warisan.
Antaranya, FAM diperintahkan untuk membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FIFA.
Selain itu, tujuh pemain terbabit kekal digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Jelas FIFA, kesemua mereka mempunyai tempoh sepuluh hari untuk meminta keputusan bertulis yang disertakan alasan, dan selepas pemberitahuan berkenaan, pihak terbabit mempunyai 21 hari untuk mengemukakan rayuan.
FAM serta tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit ialah Machuca, Facundo Garces, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero dan Rodrigo Holgado.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


