Isu pemain warisan: TMJ tidak setuju Setiausaha Agung FAM digantung

Tunku Ismail bertitah, semangat berpasukan dan tanggungjawab bersama amat penting dalam menghadapi kemelut yang menggemparkan bola sepak negara itu.
SUBANG JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berpendapat tindakan menggantung Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan tidak sepatutnya berlaku.
Ringkasan AI
- Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan penggantungan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berhubung isu dokumentasi tujuh pemain warisan sebagai tidak wajar, kerana ia melibatkan ramai pihak dalam pengurusan pasukan kebangsaan.
- Baginda menegaskan bahawa tumpuan utama ialah mencari penyelesaian terbaik dan bukan menyalahkan individu tertentu, sambil menyeru semangat berpasukan serta tanggungjawab bersama dalam menangani kemelut bola sepak negara.
- FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh FIFA atas kesalahan pemalsuan dokumen, termasuk denda dan penggantungan. FAM tidak menolak kemungkinan membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) jika rayuan di peringkat FIFA tidak memihak kepada mereka.
Tunku Ismail menegaskan bahawa projek pasukan kebangsaan bukan tanggungjawab satu individu, sebaliknya melibatkan pelbagai pihak termasuk pegawai teknikal, pengurusan dan penasihat luar yang membantu dalam usaha mencari pemain warisan.
“Bagi saya, semua pihak perlu memikul tanggungjawab ini... termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (pasukan kebangsaan, Rob Friend) dan semua yang terbabit,” titah baginda lagi.
Baginda turut menegaskan bahawa tumpuan utama kini bukan untuk mencari siapa yang bersalah, sebaliknya mencari penyelesaian terbaik agar isu ini dapat diselesaikan secara menyeluruh.
“Secara jujur, saya tidak berminat bermain ‘permainan menyalahkan’. Kita di sini untuk mencari penyelesaian. Apa penyelesaian terbaik untuk pasukan kebangsaan? Saya tidak berminat untuk menyalahkan sesiapa, tetapi saya mahu cari jalan bagaimana kita boleh selesaikan perkara ini,” titah Tunku Ismail.
Tunku Ismail turut menambah bahawa semangat berpasukan dan tanggungjawab bersama amat penting dalam menghadapi kemelut yang menggemparkan bola sepak negara itu.
Baginda menzahirkan keyakinan bahawa FAM akan berusaha sedaya upaya untuk memperbetulkan keadaan, selain berharap semua pihak dapat memberi sokongan agar pasukan kebangsaan tidak terus terjejas.
Pada 17 Oktober lalu, Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram memaklumkan Noor Azman digantung serta-merta susulan keputusan FIFA berkaitan isu dokumentasi tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Sebelum itu, FAM dan tujuh pemain terbabit melibatkan Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
FAM sebelum ini menjelaskan berlaku kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen dan tidak menolak kemungkinan membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya rayuan di peringkat FIFA tidak memihak kepada mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


