PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan tiada mana-mana kelab di negara ini yang mampu meniru apa yang telah dilakukan oleh Harimau Selatan.

Menurut Tunku Ismail, JDT telah membuktikan kejayaan dicapai kelab itu seiring dengan pemodenan dan inovasi pasukan.

“Daripada jaga rumput, falsafah bola sepak, infrastruktur, hingga ke 'celebration'. Tiada orang boleh buat apa kami atau JDT buat dalam negara ni atau Asia sebagai sebuah kelab.

"Kejayaan sama-sama mengiringi pemodenan dan inovasi. Sambutan adalah identiti mewakili konsep inilah JDT. Lain dari lain," katanya dalam satu komen di laman Instagram @officialjohor.

Sebelum ini, JDT meluaskan penguasaan mereka dalam saingan Liga Malaysia apabila meraih double quadruple selepas mengulangi kejayaan muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Tunku Ismail mengucup Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat lalu. - Foto Facebook Johor Southern Tigers


Skuad Harimau Selatan itu menamatkan saingan Liga Super 2023 dengan 76 mata hasil 25 kemenangan, seri sekali selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 26 perlawanan yang diharungi.

JDT turut mencipta sejarah tersendiri apabila merekodkan 100 jaringan semusim dan hanya dibolosi tujuh kali dalam saingan Liga Super 2023.

Kejayaan itu diraikan penuh meriah dalam sambutan sedekad dominasi secara besar-besaran di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu selepas perlawanan terakhir Liga Super menentang Pulau Pinang.

Sambutan sebagai simbolik kepada pencapaian luar biasa Harimau Selatan antara lain diserikan dengan pertunjukan bunga api dan 1,000 dron bercahaya yang menerangi langit Iskandar Puteri serta JDT Fan Fest 2023 yang diadakan di stadium itu sejak jam 8.30 pagi.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, JDT akan terus meningkatkan kualiti daripada segenap aspek.

"Kepada keluargaku, terima kasih atas sokongan anda, dan kepada musuhku, jangan kau bercemburu atau membenci tetapi anda semua harus mengagumi kehebatan ini dan hargai sumbangan JDT kepada bola sepak tempatan.

"Kerana tidak akan ada lagi kelab macam JDT dalam setiap aspek. Kerana ada satu sahaja TMJ," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian