MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menuntut individu bertanggungjawab dalam setiap persatuan bola sepak menyelesaikan kemelut gaji pemain terlebih dahulu sebelum sewenang-wenangnya mengambil sikap lepas tangan dan meletak jawatan.

Ia membabitkan senario yang berlaku dalam Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) apabila presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, dikhabarkan sudah mengambil keputusan untuk meletak jawatan pada Sabtu.

Namun, Syed Saddiq menegaskan setiap individu seharusnya bertanggungjawab bagi sebarang kemelut yang berlaku dalam mana-mana persatuan sukan yang mungkin berpunca daripada sikap presiden atau pemimpin itu sendiri.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap dengan pendirian untuk tidak sesekali memberi muka kepada mana-mana persatuan yang ingin menagih simpati meminta bantuan.

Skuad Perlis telah disingkirkan daripada Liga Malaysia musim ini apabila masih gagal menyelesaikan isu kewangan yang melanda meskipun sudah berulang kali diberi amaran keras.

"Apabila mereka berbelanja mewah di permulaan musim dan tidak dapat membayar, mereka harapkan kerajaan negeri. Kerajaan negeri akan meminta bantuan Kerajaan Persekutuan untuk bayar. Jika tidak berjaya, kerajaan negeri akan menjual beberapa tanah dan kes ini sering berulang. Apa yang boleh kami lakukan? Saya rasa corak kerja sebegini perlu ditamatkan. Cukuplah," kata Syed Saddiq.

BACA: PFA mahu selesai tunggakan gaji

Sementara itu, Syed Saddiq tidak menolak KBS akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperhalusi beberapa sukan baru yang disenaraikan dalam Sukan Olimpik Paris 2024, termasuk breakdance.

Malah, beliau percaya Malaysia tiada masalah untuk membentuk individu yang mampu mendalami sukan baru bagi mewakili negara di Paris dalam tempoh lima tahun akan datang.

Bagi sukan skuasy dan karate yang tidak disenaraikan, Syed Saddiq percaya satu keputusan positif akan dicapai di peringkat akhir Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk memastikan dua sukan utama itu dipertandingkan.

"Perkara ini akan diperhalusi MSN secara bersama. Saya rasa breakdance sudah lama di Malaysia tetapi kami perlu melihat bagaimana ia boleh dinaikkan bagi Sukan Olimpik nanti," ujarnya.