ISKANDAR PUTERI: Pasukan Harimau Malaya terus merekodkan keputusan positif ketika menentang Turkmenistan apabila menumpaskan pasukan dari Asia itu pada Khamis.

Kali ini, Malaysia menang tipis dengan keputusan satu gol tanpa balas, sekali gus menceriakan ribuan penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Gol tunggal Malaysia terhasil pada minit ke-29 apabila pemain sayap lincah, Muhammad Akhyar Rashid menjaringkan gol cantik menewaskan penjaga gol lawan.

Selepas jaringan itu, pasukan negara terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan dengan beberapa kali hampir menambah gol namun akhirnya terpaksa berpuas hati dengan satu gol.

Jentera serangan negara, diketuai Darren Lok, Faisal Halim dan Akhyar acap kali membahayakan gawang lawan dengan beberapa siri percubaan berbahaya.

Pasukan lawan pula beberapa kali mengancam gawang negara namun benteng diketuai Dion Cools yang juga merupakan kapten pasukan kekal ampuh menyerap setiap asakan.

Dalam perlawanan itu, jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon memberi peluang kepada dua muka baharu, Paulo Josue dan Endrick Dos Santos yang membarisi kesebelasan utama.

Perlawanan pada malam ini juga menyaksikan penampilan pertama buat pemain tengah yang berpangkalan di Finland, Nooa Laine.

Selepas Turkmenistan, Malaysia akan berdepan pasukan Hong Kong pada 28 Mac ini sempena siri Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 dalam persediaan pasukan negara menghadapi Piala Asia 2023.

Untuk rekod, Malaysia pernah menewaskan Turkmenistan 3-1 dalam kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun tahun lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil.