SOUTHAMPTON 1 TOTTENHAM HOTSPUR 1

Tottenham meneruskan rekod tanpa kalah sejak dibimbing Antonio Conte apabila bangkit mengikat keputusan 1-1 dengan 10 pemain Southampton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di St Mary lewat malam tadi.

James Ward-Prowse meletakkan The Saints di depan pada minit ke-25 dengan meledakkan jaringan dari jarak 16 ela.

Berselang 16 minit, Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti untuk Spurs kembali mengikat kedudukan, di mana Mohammed Salisu turut dilayangkan kad kuning kedua.

Spurs menyaksikan dua jaringan yang dihasilkan mereka dalam perlawanan itu dibatalkan pengadil gara-gara ofsaid tetapi Conte tetap mencipta sejarah sebagai pengurus pertama kelab itu merekodkan tujuh perlawanan tanpa sebarang kekalahan sebaik dilantik sebagai pengurus.

Tottenham hanya tewas sekali daripada 12 perlawanan penutup tahun dan mereka sepatutnya berada di depan seawal minit ke-14 tetapi tandukan Ben Davies susulan sepakan percuma Son Heung-min dibatalkan kerana dikesan berada di kedudukan ofsaid.

Kegagalan itu dimanfaatkan tuan rumah untuk berada di depan apabila lontaran ke dalam Salisu tidak dapat dikeluarkan pertahanan Spurs untuk Ward-Prowse membuka jaringan menerusi golnya dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Bagaimanapun, kegembiraan Salisu tidak kekal lama apabila dia dilayangkan kad kuning kedua kerana menjatuhkan Son dalam kawasan penalti dan Kane tidak mensia-siakan peluang itu untuk menjaringkan golnya yang ke-11 daripada 12 perlawanan menentang The Saints dalam EPL.

Nasib sekali lagi memihak Southampton pada lapan minit pertama babak kedua, di mana video bantuan pengadil (VAR) mendapati Kane sedikit berada di depan pertahanan terakhir tuan rumah sebelum menerima lorongan Harry Winks, sekali gus menyaksikan jaringan itu dibatalkan.

Pelawat menguasai 70 peratus perlawanan dalam babak kedua tetapi gagal menemui gol kemenangan untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan pungutan satu mata.