JARINGAN sensasi Michael Keane pada masa kecederaan menyelamatkan keputusan seri 1-1 untuk Everton apabila Cristian Stellini dinafikan tiga mata dalam perlawanan pertamanya sejak melangkah mengisi kekosongan ditinggalkan Antonio Conte.

Pemain pertahanan itu menjaringkan gol dari luar kotak penalti untuk merampas satu mata untuk Toffees di Goodison Park menentang pasukan Spurs yang kelihatan bersedia untuk kemenangan yang akan menaikkan mereka ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

Harry Kane terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti selepas dia terlibat dalam pertembungan yang menyaksikan Abdoulaye Doucoure dibuang padang.

Lucas Moura turut diarah keluar padang dengan Keane campur tangan untuk mencetuskan kekecohan di atas padang untuk anak buah kendalian Sean Dyche.