Jaringan penalti Salah bantu Mesir tewaskan Afrika Selatan 1-0, walau beraksi dengan 10 pemain

Mohamed Salah (kanan) beraksi dalam perlawanan Kumpulan B Piala Negara-Negara Afrika menentang Afrika Selatan di Agadir, Maghribi, pada Jumaat. - Gambar AP
AGADIR, MAGHRIBI: Mohamed Salah menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama untuk membantu Mesir menewaskan Afrika Selatan 1-0 dalam aksi Kumpulan B Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) pada Jumaat, sekali gus menjadi pasukan pertama mara ke pusingan kalah mati.
Mesir kini mengumpul enam mata daripada dua perlawanan dan mengesahkan kedudukan teratas kumpulan dengan satu perlawanan berbaki.
Afrika Selatan pula mengutip tiga mata, manakala Zimbabwe dan Angola masing-masing memiliki satu mata selepas seri 1-1 awal hari sama.
Salah memperoleh penalti selepas dikasari pertahanan Afrika Selatan, Khuliso Mudau, ketika perebutan bola dalam kotak penalti sebelum menyempurnakan sepakan untuk gol keduanya dalam kejohanan ini.
Mesir beraksi dengan 10 pemain
Mesir kehilangan pemain pertahanan kanan, Mohamed Hany, yang dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan keras pada penghujung separuh masa pertama.
Situasi itu memaksa Mesir bertahan sepanjang babak kedua ketika Afrika Selatan melancarkan serangan bertali arus.
Afrika Selatan turut dinafikan sepakan penalti selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang panjang berhubung insiden bola terkena tangan pemain Mesir.
Walaupun menguasai permainan, skuad bimbingan Hugo Broos gagal memanfaatkan peluang dengan 17 percubaan pada separuh masa kedua, kebanyakannya tersasar.
Salah catat gol antarabangsa ke-65
Gol penalti itu merupakan jaringan antarabangsa ke-65 buat Salah dan gol keduanya dalam kejohanan yang berlangsung di Maghribi.
Afrika Selatan hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan Mudau yang diselamatkan penjaga gol Mesir, Mohamed El Shenawy.
Peluang terbaik hadir apabila Lyle Foster mencipta hantaran kepada Aubrey Modiba, namun El Shenawy sekali lagi cemerlang menafikan gol.
Kekalahan ini adalah yang pertama buat Afrika Selatan dalam perlawanan kompetitif di bawah kendalian Hugo Broos sejak hampir dua tahun. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


