Bukan sahaja mahir dalam hukum hakam syariah, malah Mufti Wilayah Persekutuan sebenarnya bijak membaca strategi perlawanan bola sepak!

Datuk Dr Zulkifli Al Bakri menerusi entri terbaru di Instagram menyifatkan gol disumbangkan Syahmi Safari pada pertemuan timbal balik separuh akhir antara Malaysia dan Thailand ibarat gol yang dijaringkan bekas kapten pasukan Brazil Socrates.

“Bagi saya, itu antara gol terbaik setakat ini," jelas Dr Zulkifli dalam status terbarunya di Instagram.

Pada masa sama, beliau mengakui sudah menjangkakan kemenangan itu berdasarkan kepada prestasi keseluruhan pemain dan sinergi yang dicipta jurulatih Tan Cheng Hoe.

“Syabas dan tahniah! Cuma, jangan leka dan terus membina semangat untuk melakar kejayaan yang sudah tertangguh beberapa tahun. Semoga #HarimauMalaya akan menjadi juara #AFFSuzukiCup2018”.

Socrates merupakan pemain tengah yang berasal Brazil dan merupakan antara pemain ternama pada 1980an.

Malaysia berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki selepas mengikat Thailand 2-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Rabu malam.

Malaysia bakal bertemu sama ada Vietnam ataupun Filipina di final nanti, namun ia bergantung pada siapa yang menang dalam aksi timbal balik perlawanan separuh akhir pada Khamis.