JDT kuasai perlawanan selepas permulaan sukar - Xisco Munoz

Pemain JDT, Joao Vitor Brandao Figueiredo (kiri) melakukan sepakan gol ketika menentang Imigresen FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, pada Ahad. - Gambar Bernama
ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz mengakui pasukannya berdepan cabaran pada awal minit perlawanan ketika pertemuan menentang Imigresen FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
"Permulaan perlawanan agak sukar kerana pertahanan yang ampuh dan menutup ruang untuk melakukan serangan.
"Namun, selepas dua gol dijaringkan, kami mempunyai lebih banyak peluang dan dapat menguasai permainan," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Walaupun menguasai bola dan mencipta banyak peluang, Xisco berkata, pasukannya masih perlu memperbaiki penyudah.
Namun, jurulatih dari Sepanyol itu memuji semua pemain termasuk Hector Hevel dan beberapa pemain utama seperti Joao Figueiredo yang kembali beraksi, namun masih perlu berhati-hati untuk menurunkan mereka memandangkan mereka baru pulih daripada kecederaan.
Menjelang perlawanan seterusnya, Xisco berkata, penting untuk mengekalkan fokus dan intensiti ketika JDT berdepan jadual perlawanan padat, dengan lapan perlawanan dalam tempoh 28 hari termasuk komitmen peringkat benua.
"Penggiliran pemain amat penting kerana mustahil untuk pemain mengekalkan prestasi terbaik dengan jadual perjalanan yang padat.
"Sasaran kami sentiasa tiga mata. Apabila anda menyarung jersi JDT, objektifnya adalah untuk menang dan kekal di puncak. Kami mesti mengekalkan keazaman, kekuatan terus meningkatkan prestasi pasukan setiap hari," katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Imigresen FC, Yusri Che Lah berkata, walaupun pasukannya berjaya bertahan dengan baik pada separuh masa pertama, keupayaan untuk mengekalkan intensiti sepanjang 90 minit menjadi cabaran utama.
"Kami memang menjangkakan kekalahan, namun sasaran kami adalah untuk mengurangkan jumlah jaringan bolos kerana perbezaan gol akan diambil kira dalam kedudukan liga nanti. Sekurang-kurangnya kami berjaya mendapatkan dua gol," katanya.
Yusri turut mengakui, faktor keletihan jelas menjejaskan tumpuan pemainnya, selain membuka ruang kepada lawan untuk menjaringkan lebih banyak gol.
"Meskipun pasukannya berpeluang mencipta beberapa peluang berbahaya, namun kegagalan memanfaatkannya mengundang padah.
"Musim ini merupakan penampilan sulung Imigresen FC dalam Liga Super dan kami perlu bangkit segera," katanya.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


