Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super apabila menjinakkan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin, malam Rabu.

Keputusan itu menyaksikan JDT kembali menemui rentak kemenangan selepas hanya mencatat keputusan seri 2-2 pada perlawanan sebelum ini menentang Selangor.

Skuad Harimau Selatan membuka tirai jaringan menerusi penyerang sensasi dari Argentina, Gonzalo Gabriel Cabrera Giordano pada minit ke-33.

Kelalaian penjaga gol Negeri Sembilan, Muhammad Ilham Amirullah Razali untuk menangkap kemas rembatan daripada S. Kunanlan membawa padah apabila bola yang terlepas ditendang masuk oleh Gabriel Cabrera untuk memberikan gol kedua peribadinya buat JDT pada minit ke-75.

Di Stadium Hang Jebat, pasukan tuan rumah Melaka, gagal memanfaatkan beraksi di gelanggang sendiri apabila diikat PKNS FC 1-1.

Melaka terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Jeon Woo Young yang merembat cantik hasil dari sepakan percuma pada minit ke-15 sebelum Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew menjadi penyelamat buat PKNS FC apabila berjaya menyumbat gol penyamaan pada minit ke-42.

Sementara itu, perlawanan antara PKNP FC dengan Selangor dibatalkan kerana lampu limpah di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, mengalami kerosakan.

Komisioner Perlawanan, Baharim Jusoh mengesahkan bahawa sumber janakuasa telah mengalami kerosakan yang teruk dan tidak dapat dibaik pulih.

"Kita sudah berbincang dengan jurutera stadium dan terpaksa membatalkan perlawanan pada malam ini dan tarikh perlawanan tersebut akan ditentukan oleh Malaysia Football League (MFL)," katanya pada sidang media di sini.

-- BERNAMA