KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan rentak kemenangan tanpa kalah sepanjang 19 perlawanan Liga Super 2023, selepas menewaskan Sabah FC dengan jaringan 5-1, pada perlawanan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.

Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pasukan tuan rumah, yang membuka tirai seawal minit ke-13 menerusi jaringan Jafri Chew, hasil gerakan serangan balas.

JDT hanya memerlukan empat minit untuk menyamakan kedudukan menerusi Juan Muniz, yang meledak bola lencongan selepas mendapat bola sepakan sudut pendek, Arif Aiman Hanapi.

JDT kemudian selesa mendahului pada minit ke-25, apabila Bergson da Silva dengan tenang menyudahkan sepakan penalti diberikan pengadil Razlan Joffri Ali, selepas Muniz dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Rawilson Batuil.

Bersambung babak kedua, penyerang baharu JDT Herbety Fernandes, membuat larian deras solo sebelum meledak gol ketiga pasukan pada minit ke-48.

Bergson membuktikan beliau penyerang digeruni dalam Liga Malaysia, apabila menjaringkan gol keduanya pada minit ke-62, sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-78, sekali gus menghadiahkan jaringan kelima buat JDT.

Di IPOH, Perak FC menepati ramalan apabila meneruskan momentum kemenangan, dengan menewaskan Penang FC 3-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Perak.

Perak memanfaatkan kelebihan bermain di halaman sendiri apabila mencetak gol seawal minit kelima menerusi Luciano Guaycochea, diikuti Wan Zack Haikal pada minit ke-23 dan Seo Seonung (minit ke-73) manakalan Penang memperoleh gol sagu hati menerusi Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar pada minit ke-72.

Di KOTA BHARU, Kelantan FC berhasil melakar kemenangan kedua mereka di kancah Liga Super, selepas menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 pada aksi berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV.

Dua gol pasukan itu dijaringkan pemain import Argentina Leonardo Rolon, seawal minit pertama perlawanan dan minit ke-30.

-- BERNAMA