ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan penguasaan apabila menewaskan Kuching City FC 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam tadi.

Harimau Selatan bermula garang apabila menggempur benteng skuad pelawat sehingga terhasil jaringan pada minit ke-34 menerusi rembatan jarak jauh Bergson Gustavo Da Silva menewaskan penjaga gol Kuching City FC Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Tiga minit sebelum babak pertama tamat, tuan rumah menggandakan jaringan menerusi sepakan percuma Juan Muniz Gallego dari luar kotak penalti yang menerjah gawang lawan.

Babak kedua perlawanan menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari terus mengasak The Cats namun tindakan bijak anak buah Aidil Shaharin Sahak memperkukuh benteng pertahanan berjaya menyekat kemaraan tuan rumah.

JDT mempunyai peluang menambah jaringan pada minit ke-74, namun Fernando Martin Forestieri gagal memanfaatkan peluang di depan mata yang berpunca daripada hantaran pertahanan Kuching City FC Arham Khussyairi Ab Wahab kepada penjaga gol tersasar.

Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan malam tadi menyaksikan JDT mengutip 70 mata untuk berada di persada liga, manakala Kuching City FC menduduki tangga kedua tercorot dengan sembilan mata selepas 24 perlawanan.

Kelantan di kedudukan terbawah dengan lapan mata.

JDT dijadual berdepan Sri Pahang FC pada 3 Dis dan Penang FC pada 17 Dis.

-- BERNAMA