"Jika salahkan saya membantu penyokong bola sepak Malaysia tidur malam, silakan..." - Tunku Ismail

Tunku Ismai bertitah, setiap pandangan daripada masyarakat dan peminat bola sepak, sama ada positif atau negatif, akan diterima dengan hati terbuka. - Gambar/ Stadium Astro
SUBANG JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara sinis bertitah, baginda sedia dipersalahkan berhubung isu membabitkan dokumentasi tujuh pemain warisan Harimau Malaya dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"Jika ia membantu penyokong bola sepak tanah air tidur malam... nak salahkan saya... by all means silakan. Saya terima dengan hati terbuka," titah titah baginda dalam sidang media khas pada Sabtu.
Baginda bertitah, setiap pandangan daripada masyarakat dan peminat bola sepak, sama ada positif atau negatif, akan diterima dengan hati terbuka.
Menurut Tunku Ismail, perkara utama yang perlu diberi tumpuan ketika ini ialah memastikan pasukan kebangsaan terus berjuang dalam suasana positif serta mendapat sokongan semua pihak.
“Saya berharap selepas ini kita akan berjuang dan mengharapkan yang terbaik buat pasukan kebangsaan, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan juga pemain yang tidak bersalah.
“Saya harap satu hari nanti mereka dapat mewakili negara mereka,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan agar rakyat dan peminat bola sepak tidak terus menghukum mana-mana pihak, sebaliknya memberi ruang kepada FAM untuk menyelesaikan isu berkenaan melalui saluran yang sah.
Pada masa sama, Tunku Ismail turut mengulangi pendirian baginda untuk memikul segala kritikan yang dilemparkan berhubung isu terbabit.
Baginda menegaskan bahawa dalam setiap usaha pembaharuan, pasti akan ada cabaran dan kesilapan yang berlaku, namun apa yang lebih penting ialah keazaman untuk memperbaikinya.
“Sebagai sebahagian daripada industri bola sepak negara, saya sentiasa terbuka menerima kritikan kerana matlamat kita adalah untuk melihat bola sepak Malaysia terus maju,” titah baginda.
Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Antara pemain yang terbabit ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Badan induk bola sepak negara itu telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dan keputusan muktamad dijangka diumumkan pada Khamis ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


