Johor mahu perkasa sukan permotoran negeri - Osman

Program Serlahkan Kehebatan 10 dilihat dapat menjadi satu platform yang boleh membawa anjakan dalam industri sukan pemotoran negara.

OSMAN: Sahut seruan kerajaan yang berhasrat mewujudkan modan insan yang seimbang dari pelbagai aspek. | Astro Awani
Program Serlahkan Kehebatan 10 yang kini memasuki edisi yang ke-7 dilihat mampu untuk memperkasa sukan permotoran di Johor, kata Menteri Besar Datuk Osman Sapian.

Katanya beliau yakin program itu dapat menjadi satu platform yang boleh membawa anjakan dalam industri sukan pemotoran negara, terutama di negeri Johor, seiring dengan teras Pelan Pembangunan Mampan Negeri Johor tahun 2019-2030 iaitu Aspirasi Idealis Anak Muda.

Beliau berkata program ini juga bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan yang berhasrat mewujudkan modan insan yang seimbang dari pelbagai aspek.

"Ia untuk memastikan perkembangan anak muda yang positif dalam memperkasa sukan permotoran dan keusahawan, sekaligus membendung gejala negatif seperti lumba haram dan sebagainya," katanya ketika merasmikan Program Serlahkan Kehebatan 10, di sini pada Sabtu.

Kira-kira 50,000 motosikal pelbagai jenis berhimpun bagi memeriahkan program itu, yang merupakan anjuran Kelab Permotoran Generasi Baru dengan kerjasama Institut Intergriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato Onn (IKLAS).

-- BERNAMA