KUALA LUMPUR: Muhammad Sharul Aimy menjadi prospek utama pingat emas skuad gimnastik artistik lelaki negara pada Sukan SEA ke-32 di Phnom Penh, Kemboja pada 5 hingga 17 Mei depan.

Namun, ia bukan mudah kerana beliau bakal berdepan pesaing hebat yang juga juara dunia Carlos Yulo dari Filipina.

Jurulatih kebangsaan Ng Shu Liang bagaimanapun yakin Muhammad Sharul yang juga finalis disiplin melombol Sukan Komanwel Brimingham 2022 berpotensi menyumbang emas berdasarkan prestasi dan pengalaman dimiliki gimnas itu.

Ng berkata selain Muhammad Sharul, seorang lagi gimnas Luqman Al Hafiz Zulfa juga berpotensi memenangi pingat walaupun kedua-dua anak buahnya itu akan berdepan saingan sengit daripada Yulo.

"Atlet paling kuat dan paling berpeluang (emas) ialah Muhammad Sharul dalam melombol. Dia finalis Sukan Komanwel tahun lepas, finalis FIG Apparatus World Cup di Cottbus, Jerman (bulan lepas) dan dapat gangsa (kekuda berpelana) pada Sukan SEA lepas, jadi dialah yang ada peluang paling tinggi.

"Atlet lain seperti Luqman pun baik kerana boleh main (beraksi) pelbagai disiplin... tetapi kita ada lawan sangat kuat (Yulo) dari Filipina. Baru-baru ini dalam FIG Apparatus World Cup di Baku, dia (Yulo) menang dua emas... dia ibarat tiga gimnas (artistik) terbaik dunia," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan Ketua Kontinjen Datuk Mohd Nasir Ali ke venue latihan skuad gimnastik di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini hari ini.

Ng berkata halangan besar skuad negara adalah Yulo yang muncul juara dunia dalam senaman lantai Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman sebelum mengulangi kejayaan sama pada edisi 2021 di Kitakyushu, Jepun dalam melombol.

Pada FIG Apparatus World Cup di Cottbus bulan lepas, Yulo, 23, sekadar meraih pingat gangsa dalam palang sejajar, namun bangkit menggondol tiga emas di FIG Apparatus World Cup masing-masing di Doha, Qatar (senaman lantai) dan Baku, Azerbaijan (melombol dan palang sejajar) bulan ini.

Menurut Ng, Yulo yang hebat dalam acara kegemarannya melombol, turut mencipta sensasi apabila membolot lima pingat emas pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam yang lepas.

Mengenai keputusan mengehadkan seorang gimnas hanya boleh menyertai dua acara individu pada edisi kali ini, Ng berkata: "Saya tak pasti macam mana peraturan ini boleh beri manfaat kepada pasukan kerana atlet yang mengambil bahagian dalam sesuatu acara kita akan tahu pada hari pertandingan.

Selain Muhammad Sharul dan Luqman, skuad negara ke Phnom Penh dibarisi Ng Chun Chen, Teoh Chuen Feng serta dua atlet baharu iaitu Ally Hamuda dan Syakir Aiman Subri.

Pada Sukan SEA Hanoi, skuad lelaki kebangsaan meraih satu perak dan satu gangsa masing-masing menerusi Tan Fu Jie dan Muhammad Sharul dalam kekuda berpelana.

-- BERNAMA