Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong mengarahkan jurulatih berbasikal negeri yang ingin membuat latihan di kawasan berisiko seperti jalan raya agar melakukan tinjauan rapi terlebih dulu, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan sesuatu kawasan selamat untuk sesi latihan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan membabitkan pelatih.

"Sukan berbasikal seperti acara lebuh raya tidak boleh lari daripada menggunakan kemudahan awam (lebuh raya) memandangkan kita (MSN) tidak boleh menyediakan lebuh raya khusus untuk acara berbasikal," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Kejohanan Piala Gurdwara ke-62 dan Festival Sukan Sikh 2013 di sini hari ini.

Ia disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Zolkples mengulas kematian pelatih skuad projek pelapis lumba basikal negeri Terengganu Mohd Shafiq Imran Syahril, 15, dalam nahas dengan sebuah lori ketika menjalani latihan di Kuala Terengganu semalam.

Beliau berkata keluarga arwah layak mendapat pampasan di bawah skim perlindungan insurans untuk atlet pelapis negeri yang meninggal dunia.

Menyentuh cadangan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad semalam berhubung penggunaan marsyal,Zolkples berkata langkah itu perlu dilihat secara menyeluruh kerana melibatkan kos yang tinggi.

"Itu satu idea yang baik, cuma menjadi persoalan sama ada mereka (PKBM) mampu atau tidak... Kita boleh laksanakan namun sekiranya ia dijadikan satu perkara wajib, saya bimbang ia akan menjejas program latihan atlet itu sendiri," katanya.

Pada Mac tahun lepas, pelumba basikal pasukan kelab Le Tua, Rafizi Hamdan, 37, maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang berbasikal di Jalan Lingkaran Tengah II di Kuala Lumpur.

Pada Januari tahun lepas pula, empat pelumba negara iaitu Mariana Mohamad, Masziyaton Mohd Radzi, Mohd Azri Ahmad dan Mohd Aziz Zahit cedera akibat dirempuh sebuah kereta di Putrajaya.