Prestasi skuad senior ketika ini mempunyai impak yang minimum terhadap perancangan jangka panjang sukan bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata bahawa usaha mengejar kejuaraan Piala AFF Suzuki 2014 tidak sama sekali atau hanya mempunyai kesan minimum terhadap jejak dan rentak generasi bola sepak negara pada masa akan datang di bawah pelan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBSN).

“Usaha kami menyemai bakat muda dan membina DNA baharu di bawah Pengarah Teknikal PPBSN, Lim Teong Kim kini bermula daripada usia tujuh tahun dan diharapkan dapat membuahkan hasil dalam tempoh lima hingga 10 tahun,” kata Khairy.

Menurut berita Bangkok Post, skuad Negara Gajah Putih itu menjangkakan imbuhan yang besar iaitu lebih daripada 20 juta baht (RM2.12 juta) sekiranya mereka berjaya membawa pulang piala kejohanan.

Begitupun, ‘kejutan’ yang besar juga turut menanti pasukan Harimau Malaya sekiranya mereka mampu mencipta keajaiban dengan membawa kemenangan selepas kali pertama menjuarainya pada tahun 2010.

“Tentunya ada insentif yang menunggu pasukan negara sekiranya mereka mampu memenangi perlawanan malam esok. Kita perlu menang dahulu dan mengumumkannya kemudian,” kata Khairy ketika ditemuramah oleh Astro AWANI.

Khairy menyeru penyokong Malaysia agar menonton perlawanan akhir kedua nanti dengan penuh semangat kesukanan, keterbukaan dan tidak bertindak ganas atau biadap.

“Saya juga berharap tiada sesiapa yang putus harapan. Kita memerlukan tiga jaringan gol untuk mengubah keputusan perlawanan.

“Tiada yang mustahil, terutamanya dalam bola sepak. Para pemain perlu fokus dan berikan yang terbaik pada malam esok.

“Saya berharap ‘Pablo’ Dollah Salleh mempunyai sesuatu yang istimewa untuk berdepan dengan Thailand, baik pemain muda atau yang lebih berpengalaman,” ujar beliau.

Malaysia akan bertemu Thailand dalam perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini. Pada pertemuan pertama, pasukan negara tewas kepada Thailand 0-2 dalam perlawanan di Stadium Rajamangala, Bangok Khamis lalu.

Tayangan secara langsung di Dataran Merdeka malam ini juga akan diadakan buat para penyokong Harimau Malaya yang gagal mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan tersebut di stadium.