KUALA LUMPUR: Sabar, jangan terburu-buru!

Itu mungkin aspek yang beregu wanita negara Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing perlu memberi tumpuan menjelang dua kejohanan besar mereka, Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina dan Piala Uber 2022 di Bangkok, Thailand.

Mei Xing mengakui mereka perlu lebih bersabar semasa bertahan bagi mengelak daripada memberi mata mudah kepada lawan dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.

"Sebagai beregu, kami selalu banyak menyerang untuk dapatkan mata tapi bila kami bertahan kami banyak buat silap.

Kami berdua selalu tak sabar ketika bertahan, selalu nak matikan cepat (mata) yang kemudiannya terbukti membawa padah kepada kami," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Biarpun ini merupakan penampilan kedua beliau dalam Piala Uber, Mei Xing berkata edisi tahun ini merupakan kali pertama beliau beraksi bersama Anna selepas bergandingan dengan bekas pasangannya, Yap Ling di Aarhus, Denmark tahun lepas.

Mei Xing berkata biarpun beliau dan Anna masih merupakan pasangan baharu, beliau masih merasakan beban tanggungjawab untuk beraksi dengan lebih baik di gelanggang kerana semakin ramai beregu lawan memerhatikan gaya permainan mereka.

"Dulu gandingan kami sangat lancar kerana orang tak baca lagi permainan kami, macam sekarang saya rasa beregu lain sudah mula membaca permainan kami dan cuba menghentikan rentak kami, " katanya.

Pada masa sama, pemain berusia 25 tahun itu berharap untuk dapat mencapai ranking ke-50 dunia tahun ini selepas menduduki tangga ke-65 dunia pada masa ini bersama Anna.

Anna-Mei Xing dijadualkan bertemu Ashwini Bhat K.-Shikha Gautam dari India dalam pusingan pertama BAC, yang bermula esok sehingga 1 Mei.

Beregu negara itu kemudian akan berlepas ke Bangkok untuk Piala Uber 2022 yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 15 Mei ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C dengan tuan rumah dan naib juara 2018 Thailand, Denmark dan Mesir.

Selain Anna-Mei Xing, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga mengharapkan kepada S Kisona, Goh Jin Wei, Eoon Qi Xuan, Myisha Khairul, Tan Zhing Yi, Chan Wen Tse, Pearly Tan, M Thinaah, Valeree Siow and Low Yeen Yuan untuk Piala Uber 2022.

-- BERNAMA