JOSE Mourinho gusar apabila Harry Kane mungkin terpaksa berehat selama "beberapa minggu" selepas kapten Tottenham itu cedera di kedua-dua belah buku lalinya ketika tewas 1-3 kepada Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Penyerang kebangsaan England itu tidak dapat diturunkan dalam babak kedua di Stadium Tottenham Hotspur selepas menjalani rawatan sebanyak dua kali dalam 45 minit pertama.

Kane sebelum ini pernah mengalami kecederaan yang sama tetapi Mourinho tidak pasti sama ada pemain tonggaknya itu mengalami kecederaan berulang atau tidak dan pengurus Spurs itu mengakui dia perlu mencari penyelesaian terbaik tanpa pemain itu.

Ditanya mengenai kecederaan Kane, pengendali berbangsa Portugis itu berkata kepada Match of the Day: "Di kedua-dia buku lalinya, yang pertama disebabkan terjahan gegabah, disebabkan oleh Thiago (Alcantara). Yang kedua, saya tidak berapa pasti.

"Tetapi dua kecederaan di sepasang buku lalinya, yang kedua lebih buruk daripada yang pertama -- mungkin dia perlu berehat selama beberapa minggu, saya tidak tahu.

"Ada sesetengah pemain yang anda tidak dapat mencari penggantinya. Apabila ia berlaku, ia akan berlaku tetapi saya percaya kami perlu mengatasinya. Kami tidak dapat melakukan perkara lain," katanya.

Spurs akan bertemu Brighton and Hove Albion hujung minggu ini sebelum menghadapi Chelsea dalam 'derby' London.

Mereka kemudian akan menghadapi Everton dan Manchester City sebelum bertemu Wolfsburg dalam dua perlawanan timbal balik Liga Europa bulan depan.

Rekod tanpa kalah sepanjang lapan perlawanan lalu milik mereka ditamatkan malam tadi oleh juara bertahan, Liverpool, yang kembali menemui sentuhan jaringan menerusi Roberto Firmino, Trent Alexander-Arnold dan Sadio Mane manakala jaringan tunggal Spurs disumbangkan oleh Pierre-Emile Hojbjerg.

Skuad kendalian Mourinho itu kini berada di tangga keenam  EPL dan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Manchester City.