PELABUHAN KLANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melancarkan satu inventori memaparkan kesemua infrastruktur dimiliki serta diselenggara kementerian berkenaan dalam laman sesawang mereka mulai minggu depan.

Menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata, ia bertujuan memudahkan pengurusan mana-mana pihak bagi mengguna dan mendapatkan kemudahan milik kementerian itu.

"Contohnya ada persatuan sukan yang mencari dewan, boleh terus ke sesawang inventori milik KBS," katanya dalam majlis berbuka puasa bersama Menteri Belia dan Sukan di sini pada Rabu.

Yeoh berkata pelancaran inventori itu juga bertujuan memudahkan persatuan sukan kebangsaan yang belum mempunyai pusat latihan untuk memilih mana-mana aset milik kementerian yang bersesuaian.

Katanya, KBS turut mempunyai perancangan untuk memperbanyakkan senarai berkenaan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di masa depan.

Dalam majlis berkenaan, Yeoh turut menyampaikan geran RM20,000 kepada Persatuan Kriket Malaysia (MCA) untuk membantu persatuan berkenaan menganjurkan kejohanan dalam pembangunan sukan.

Sementara itu, Presiden MCA Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali menzahirkan perasaan terharu apabila badan induk itu menerima perhatian KBS yang sudi mendengar permasalahan yang berlaku dalam sukan itu.

Mohammed Iqbal memaklumkan sekiranya MCA mampu memiliki padang latihan sendiri sudah semestinya ia dapat membantu skuad lelaki yang kini berada di ranking ke-27 dunia manakala wanita (ke-28 dunia) untuk meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa pada masa depan.

"Kita baru sahaja berpindah di sini (Bayuemas Oval) pada Ogos tahun lalu dan sedikit demi sedikit kami tambah baik mengikut keperluan kami. Memang sedih apabila terpaksa keluar daripada Kinrara Oval, Puchong selepas sudah berada di situ selama 18 tahun.

"Saya yakin sekiranya kita mempunyai laman sendiri untuk berlatih sudah pasti sukan ini (kriket) mampu lebih menyerlah," katanya.

Pada 30 Jun lepas, MCA terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada padang kesayangan mereka di Kinrara Oval, Puchong selepas 18 tahun beroperasi di situ.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai persediaan skuad kriket negara ke Sukan SEA di Phonm Penh, Kemboja, beliau berkata pasukannya sudah bersedia untuk beraksi di temasya dwitahunan itu dengan skuad lelaki sekurang-kurangnya mampu membawa pulang tiga pingat.

-- BERNAMA