SEPANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi bayangan untuk meneruskan formula menetapkan sasaran keseluruhan pingat berbanding mengikut warna pada mana-mana temasya sukan akan datang.

Menterinya Hannah Yeoh berkata pendekatan baharu diguna pakai pada Sukan Asia Hangzhou 2022 itu dilihat berkesan sehingga tidak memberi tekanan kepada atlet yang berjuang pada temasya sukan empat tahun sekali tersebut.

"Bila ada gaya baharu mereka (atlet) rasa tekanan tak wujud. Memandangkan kita tidak menetapkan sasaran emas (secara spesifik) pemenang gangsa pun rasa mereka turut diraikan.

"Jika ia (sasaran pingat secara keseluruhan) baik, kita akan teruskan," katanya pada sidang media selepas tiba dari Hangzhou di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Hannah berkata setiap keputusan dibuat termasuk mekanisme sasaran keseluruhan pingat diutarakan Universiti Sains Sukan Nippon, Jepun yang mempunyai jalinan kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), adalah demi memastikan kesejahteraan atlet terjamin.

Beliau pada masa sama berkata, pihak Universiti Sains Sukan Nippon itu dijadual berkunjung ke Malaysia bulan depan bagi meneliti setiap keputusan dicapai atlet negara di Hangzhou selain membantu mereka merangka persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Dalam pada itu, Hannah berpuas hati dapat melihat usaha terbaharu KBS dalam memperkenalkan dana geran padanan sukan diumumkan pada Bajet 2023 membuahkan hasil lumayan khususnya kepada sukan karate.

Katanya, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menerima dana RM1 juta bagi menganjurkan Kejohanan Karate Asia ke-19 di Melaka, Julai lepas dan program latihan atlet yang berjaya memberikan pencapaian membanggakan apabila mereka pulang dengan satu emas dan dua perak dari Hangzhou.

Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik menyumbang emas di Hangzhou dalam acara kumite bawah 84kg lelaki manakala dua perak hadir menerusi Lovelly Anne Robberth (Kata individu wanita) dan trio Lovelly, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil (Kata berpasukan wanita).

Sementara itu, Hannah berkata pandangan disuarakan ketua kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt semalam bahawa peruntukan dana lebih besar diperlukan untuk memacu industri sukan tanah air ke tahap terbaik, adalah tepat.

Justeru, Hannah berkata beliau akan membentangkan prestasi keseluruhan atlet negara di Hangzhou pada mesyuarat Kabinet menjelang pembentangan Belanjawan 2024 yang dijadual Jumaat ini bagi pertimbangan Kementerian Kewangan dalam memberi peruntukan diperlukan untuk memajukan industri sukan negara.

Kontinjen negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 berjaya melepasi sasaran 27 pingat selepas mengumpul keseluruhan 32 pingat dengan pecahan enam emas, lapan perak dan 18 gangsa.

-- BERNAMA