TEHRAN: Ketegangan konflik di Asia Barat terus meningkat apabila Iran menyelar tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS), sambil menuduh Israel sebagai perancang utama operasi tersebut.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, terus mengkritik operasi ketenteraan AS dengan menyifatkannya sebagai “Operasi Kesilapan Epik”.
Advertisement
Beliau menuduh Israel merancang tindakan itu, manakala rakyat AS pula menjadi pihak yang menanggung implikasi ekonomi dan kemanusiaannya.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menegaskan keupayaan peluru berpandu Iran masih utuh, menolak dakwaan AS bahawa program tersebut telah dimusnahkan.
IRGC berkata mereka kini melancarkan lebih banyak projektil dengan kepala peledak melebihi satu tan, menunjukkan kemampuan ketenteraan negara masih kukuh.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, menyatakan bahawa Selasa bakal menjadi hari paling sengit dalam siri serangan ke atas Iran sejak perang bermula.
Washington dijangka mengerah jumlah pesawat pejuang dan pengebom paling banyak setakat ini dalam usaha menekan kedudukan strategik Iran.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa Israel akan menyerang sasaran kerajaan Iran “dengan kekuatan yang semakin meningkat”.
Beliau turut mendakwa AS dan Israel telah menyasarkan “tidak terkira banyaknya” lokasi kerajaan Iran sejak perang bermula dan akan terus memperhebatkan tekanan ketenteraan.
Netanyahu dalam mesejnya kepada rakyat Iran mengatakan bahawa Israel merupakan “sekutu terbaik” mereka, sambil mendakwa bahawa keadaan akan diwujudkan supaya rakyat Iran dapat “menentukan masa depan mereka sendiri” dalam masa terdekat.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Ali Jafarian, sekurang-kurangnya 1,255 orang terbunuh dan 12,000 cedera akibat gabungan serangan AS-Israel sejak konflik tercetus.
Di samping itu, Iran mendakwa hampir 10,000 tapak awam musnah, termasuk 65 sekolah dan institusi pendidikan, serta hampir 8,000 kediaman, berdasarkan laporan Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Amir Saeid Iravani.
Di utara, pertempuran antara Israel dan Hezbollah terus memuncak.
Serangan udara Israel di Lubnan kini meragut hampir 500 nyawa, menurut pihak berkuasa negara itu, dengan angka korban meningkat setiap hari.