ALOR SETAR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah selesai melakukan pascanilai berhubung keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), yang sebelum ini dilaporkan rosak termasuk ketika aksi final Piala Malaysia, 8 Dis lalu.

Menterinya Hannah Yeoh berkata Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) juga telah menjalankan siasatan berhubung perkara itu, bagi mengelakkan situasi sama berulang pada masa akan datang.

"Post mortem telah selesai di peringkat KBS pada minggu lepas seperti yang kita janjikan, cuma laporan tersebut perlu dibentangkan untuk lembaga pengarah (PSM) dahulu.

"Sekarang sudah hujung tahun dan mesyuarat lembaga pengarah PSM akan dijadualkan awal Januari, untuk lembaga pengarah terima keputusan dan kita akan mengambil langkah penambahbaikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata laporan tersebut juga tidak akan didedahkan kepada umum, memandangkan ia melibatkan siasatan dalaman yang dilakukan KBS dan PSM, untuk mengelakkan isu sama berulang.

Isu padang SNBJ yang rosak sebelum ini menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, yang dikatakan berpunca selepas penganjuran konsert kumpulan terkemuka, Coldplay di venue tersebut pada 22 Nov lalu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk kekal menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hannah berkata perkara itu akan dapat memastikan BAM untuk fokus kepada persiapan menerusi program Road to Gold (RTG), yang diperkenalkan dalam usaha memenangi pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik.

"Perancangan RTG untuk tahun depan, bulan Januari masuk sahaja kita boleh teruskan dengan persiapan untuk Sukan Olimpik nanti iaitu Paris 2024, sekarang ini proses untuk pemain badminton ialah melayakkan diri dalam Sukan Olimpik," katanya.

Terdahulu, Hannah hadir ke majlis penyerahan Pusat Latihan Skuasy Negeri Kedah kepada kerajaan Kedah.

Pembinaan pusat tersebut yang membabitkan kos sebanyak RM10.8 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan Ke-12, siap sepenuhnya pada 20 Ogos dan ia dilengkapi kemudahan lapan gelanggang, astaka penonton, bilik persalinan, surau, bilik jurulatih, bilik teknikal dan bilik sokongan.

"Dengan penyerahan pusat skuasy yang baharu ini kepada kerajaan Kedah, bermaksud untuk program pembangunan bakat di Kedah, mereka kini mempunyai fasiliti yang lebih selesa dan saya berharap program pembangunan bakat boleh berjalan dengan rapi dan lancar, dengan adanya fasiliti ini," katanya.

-- BERNAMA