Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menubuhkan satu Jawatankuasa Pemandu bagi membincangkan hala tuju program pembangunan bola sepak negara (NFDP) dan menetapkan perkara-perkara dasar yang perlu dilaksanakan dalam menambaik program berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan berkata, beliau akan mempengerusikan jawatankuasa tersebut, manakala Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai timbalan pengerusi.

Jawatankuasa berkenaan akan dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Dr Mohd Gazali Abas; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara; Pengarah Bahagian Sukan KPM, Dr. Mehander Singh a/l Nahar Singh; Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Belia FAM, Datuk Seri Subahan Kamal dan beberapa wakil yang akan dinamakan oleh KBS, FAM dan pihak penaja.

Syed Saddiq menjelaskan idea penubuhan jawatankuasa berkenaan tercetus hasil beberapa perjumpaan dan sesi 'town hall' dengan pemegang taruh bola sepak negara yang telah diadakan sebelum ini di beberapa lokasi.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan Ketua Pengarah MSN dan dibantu Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam dan ahli-ahlinya yang lain akan membincangkan pelaksanaan program NFDP di pelbagai peringkat di samping memastikan semua perkara-perkara dasar yang diputuskan oleh Jawatankuasa Pemandu dilaksanakan dan dipantau sepenuhnya.

Syed Saddiq berkata Unit Bola sepak NFDP yang sebelum ini bergerak berasingan akan diletakkan kembali di bawah Bahagian Atlet MSN yang menguruskan pelaksanaan program latihan, kejurulatihan, pertandingan dan pengurusan manakala Sekretariat NFDP sedia ada akan di bubarkan.

"Di peringkat negeri pula pusat-pusat NFDP akan diselia oleh Majlis Sukan Negeri bersama Persatuan Bola sepak Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri.

"Sekolah Sukan Negeri, Pusat Latihan Daerah dan Akademi Tunas kekal dalam struktur Program NFDP yang distruktur semula dan kembali berlatih bermula Februari 2019 selepas selesai semua proses pendaftaran sekolah dan aktiviti awal persekolahan di bulan Januari 2019," jelas Syed Saddiq.

Beliau berkata kerajaan berhasrat untuk mewujudkan satu Akademi Tunas dan Pusat Latihan Daerah di setiap daerah di seluruh negara dalam tempoh empat tahun akan datang.

Beliau bagaimanapun berkata Akademi Tunas sedia ada di seluruh negara akan diseragamkan bersama-sama Kelab Bola Sepak Komuniti Tempatan dalam tempoh dua tahun bermula tahun 2021 sebagai tapak melahirkan kelompok pemain-pemain muda.

-- BERNAMA