Ketua jurulatih sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee mengakui keadaan berjerebu ketika ini telah menjejaskan latihan pusat skuad berkenaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini.

Beliau berkata, latihan skuad kebangsaan perlu diteruskan kerana mereka hanya mempunyai masa selama dua hari sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand pada Selasa bagi menentang Laos pada aksi persahabatan kelas A, 8 Okt ini di Stadium Thai Army.

"Latihan ini amat penting dan kita akan cuba melihat situasi esok...Sekiranya ia bertambah buruk, bermakna kita akan mengadakan latihan ringan di gim (FAM) atau di hotel penginapan pasukan," katanya ketika ditemui
pemberita pada hari pertama sesi latihan skuad berkenaan, di sini, hari ini.

Seramai 15 pemain melaporkan diri untuk sesi latihan berkenaan manakala baki lapan pemain iaitu tujuh pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kapten Perak, Mohd Nasir Basharuddin akan melaporkan diri, esok.

Perak dan JDT terlibat dengan aksi kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

"Buat masa ini, semua pemain berada dalam keadaan baik kecuali (pemain Selangor), Ahmad Hazwan Bakri yang bengkak di bahagian lutut namun kecederaannya tidak berapa serius," kata Kim Swee.

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Melaka itu menegaskan fokusnya ketika ini adalah mempersiapkan skuad kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan penting di sebalik laporan berita mendakwa bahawa kontrak beliau bersama FAM tidak akan disambung.

FAM dilaporkan mengiklankan jawatan jurulatih skuad B-23 negara kerana dikatakan mahu mencari calon yang mampu mengubah nasib skuad berkenaan yang gagal menampilkan aksi memberangsangkan dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Kim Swee yang juga jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara pada masa sama, turut mendedahkan bahawa beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad baru-baru ini, bagi membincangkan masa depannya bersama badan induk itu.

"Sudah tentu saya rasa sedikit terkilan tetapi apabila saya diberikan amanah, sudah tentu saya harus menjalankan tanggungjawab berkenaan dan ketepikan segala masalah," jelasnya.

Sementara itu, pemain tengah Terengganu, Ismail Faruqi Ashari bertekad merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan setelah kali terakhir mewakili skuad kebangsaan pada 2011 di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal.

Beliau yang juga boleh beraksi di bahagian serangan mengakui persaingan dalam pasukan bertambah sengit pada kali ini dengan kehadiran beberapa pemain baharu terutamanya pemain muda.

"Saya akan buktikan kemampuan saya kepada jurulatih sekiranya saya diturunkan beraksi dalam perlawanan menentang Timor Leste selepas ini," kata anak jati Kuala Terengganu itu.

Selepas berdepan Laos, Malaysia bakal berkunjung ke Stadium Perbandaran Dili menentang Timor Leste pada aksi kelima kumpulan A pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada 13 Okt ini.

Malaysia kini berada di tangga tercorot daripada empat pasukan dalam kumpulan A dengan kutipan satu mata menerusi satu keputusan seri dan satu kekalahan.

Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) masih belum memutuskan mengenai keputusan perlawanan Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 Sept lepas yang ditangguh susulan kekecohan yang ditimbulkan penyokong dipercayai Ultras Malaya.