SUKAN
Kejohanan Akuatik Dunia 2025: Pandelela tarik diri acara 10m platform individu

Pandelela bagaimanapun tetap memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakan sepasukan yang meneruskan cabaran di Singapura, selain mengajak rakyat Malaysia memberikan semangat kepada skuad negara. - Gambar fail/BERNAMA
SINGAPURA: Ratu terjun Malaysia Datuk Pandelela Rinong terpaksa menarik diri daripada saingan di Kejohanan Akuatik Dunia 2025, kali ini dalam acara 10 meter (m) platform individu yang berlangsung di sini semalam, susulan kecederaan bahu kiri yang belum pulih.
Pemenang pingat Olimpik dua kali itu berkata keputusan berkenaan terpaksa dibuat selepas mempertimbangkan keadaan semasa memandangkan kecederaan dialaminya masih belum pulih sepenuhnya untuk membolehkan beliau bertanding dengan selamat dan pada prestasi terbaik.
"Saya berterima kasih atas semua pesanan yang baik dan keprihatinan terhadap kesejahteraan saya. Saya berjanji akan menjaga diri dengan lebih baik sambil memberi tumpuan kepada proses pemulihan agar dapat terus mewakili Malaysia pada masa akan datang," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada masa sama, penerjun berusia 32 tahun itu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakan sepasukan yang meneruskan cabaran di sini, selain mengajak rakyat Malaysia memberikan semangat kepada skuad negara.
Pada Selasa, Pandelela terpaksa menarik diri daripada acara 10m platform seirama wanita, bergandingan dengan Lee Yiat Qing susulan kecederaan pada bahu kirinya.
Gandingan itu sempat melengkapkan dua daripada lima terjunan dengan mengumpul 87 mata sebelum pengumuman rasmi penarikan diri dibuat ketika pusingan kelayakan sedang berlangsung di Pusat Akuatik OCBC di sini.
Sementara itu, Yiat Qing yang turut beraksi dalam acara individu semalam terkandas di pusingan kelayakan selepas menamatkan saingan di tempat ke-29 dengan mengumpul 240.20 mata.
Dalam acara renang pula, wakil negara Khiew Hoe Yen menamatkan saingan peringkat saingan di tempat ketujuh saringan lapan acara 100 m gaya bebas lelaki dengan catatan 50.77 saat manakala Tan Khai Xin gagal ke separuh akhir acara 200m rampaian lelaki selepas menamatkan saingan di tempat kesembilan saringan dua dengan 2:7.07s.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami