KUALA LUMPUR: Kejohanan badminton Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung pada 25-30 Mei di Axiata Arena, Bukit Jalil ditangguhkan susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, meskipun persiapan rapi sebagai tuan rumah telah dibuat, namun lonjakan kes COVID-19 baru-baru ini memaksa badan itu mengambil keputusan menangguhkan kejohanan tersebut.

“Setelah berunding dengan pihak berkuasa kesihatan dan badan badminton dunia, Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kami telah membuat keputusan untuk menangguhkan kejohanan ini.

“Keputusan kolektif ini dibuat dengan mempertimbangkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan semua pihak yang berkepentingan,” kata kenyataan tersebut.

Jelas BAM, persatuan itu telah mengambil setiap langkah yang mungkin, termasuk mematuhi semua prosedur, panduan dan protokol bagi menjamin persekitaran kejohanan yang selamat untuk semua peserta.

Terbuka Malaysia merupakan kejohanan dengan status Super 750 di bahawa kalendar Jelajah Dunia BWF.

Ia merupakan kejohanan kedua terakhir sebelum Terbuka Singapura pada bulan depan, yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

Bagaimanapun, BWF mengesahkan bahawa kejohanan itu kini tidak lagi akan diadakan dalam tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik, serta tarikh kejohanan baru akan diumumkan nanti.