PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila mudah memenangi saingan pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia 2023 Copenhagen, Denmark setelah menewaskan Brian Yang dari Kanada, awal pagi Khamis.

Zii Jia yang mengisi ranking ke-13 dunia menang straight set 21-11, 21-16 dalam masa 33 minit pada pertarungan yang berlangsung di Royal Arena.

Menanti Zii Jia pada pusingan ketiga ialah pilihan ke-12 dari Denmark, Anders Antonsen yang mengatasi seorang lagi perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong 22-24, 16-21.

"Setakat ini, saya menikmati kejohanan di sini dan saya harap dapat mengekalkan momentum ini," kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan.

Dalam pada itu, perjalanan Tze Yong di Copenhagen tersekat setelah terpaksa akur tewas kepada Antonsen.

Ng Tze Yong tewas kepada Anders Antonsen 22-24, 16-21. - Foto Facebook/BAM

Tze Yong yang membuat penampilan kedua pada kejohanan berprestij itu meraih pengajaran berguna apabila pengalaman memisahkannya dengan pemain tuan rumah, Antonsen.

Pemain kelahiran Johor berusia 23 tahun itu tewas 22-24, 16-21 dalam aksi pusingan kedua awal pagi Khamis. - Sinar Harian