Kejohanan Maybank: Pemain golf Korea Selatan Hye-Jin kekal unggul, Ruoning ekori rapat

Choi Hye-Jin meneruskan prestasi cemerlang untuk kekal di tangga teratas selepas mencatat enam bawah par 66, pada pusingan kedua. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Pemain golf Korea Selatan Choi Hye-Jin meneruskan prestasi cemerlangnya untuk kekal di tangga teratas selepas mencatat enam bawah par 66, pada pusingan kedua Kejohanan Maybank 2025 di Kelab Golf dan Country Kuala Lumpur (KLGCC) hari ini.
Ringkasan AI
- Choi Hye-Jin kekal pendahulu Kejohanan Maybank 2025 dengan catatan enam bawah par 66 pada pusingan kedua, menjadikan jumlah keseluruhan 14 bawah par 130 pukulan.
- Juara bertahan Ruoning Yin naik ke tangga kedua bersama Hannah Green, masing-masing mencatat lima bawah par 67 dan tiga bawah par 69, sambil menekankan kepentingan kesabaran menjelang pusingan hujung minggu.
- Ruoning teruja dengan sokongan peminat di Malaysia, menyifatkan kejohanan ini antara acara kegemarannya dan berazam mengekalkan prestasi pukulan put untuk skor lebih baik.
Hye-Jin yang mengakui cuaca hari ini lebih panas berkata beliau merancang untuk menjimatkan tenaganya menjelang hujung minggu.
Sementara itu, juara tahun lepas Ruoning Yin dari China melonjak ke kedudukan kedua bersama pemain Australia Hannah Green, selepas mencatat lima bawah par 67 hari ini, manakala Hannah melakukan tiga bawah par 69.
Ruoning berkata beliau berpuas hati dengan peningkatan keseluruhannya, terutamanya dari aspek pukulan put.
"Saya ada sebut dalam sidang media bahawa saya rasa pukulan put saya, satu-satunya aspek yang masih belum berada pada tahap terbaik. Tapi selepas dua hari ini, saya rasa sangat baik," katanya.
Beliau berkata kesabaran akan kekal menjadi asas utama menjelang pusingan hujung minggu.
"Saya rasa kita perlu sentiasa sabar dan ambil satu pukulan pada satu masa. Seperti yang saya katakan dalam sidang media, saya fikir catatan lima bawah par setiap hari ialah skor yang baik, jadi saya cuba bermain lima bawah par setiap hari. Kalau boleh dapat lebih rendah, itu lebih bagus," katanya.
Ruoning turut menyatakan keterujaannya terhadap Kejohanan Maybank serta sokongan yang diterimanya di Malaysia.
"Saya ada sebut dalam sidang media bahawa kejohanan ini mungkin antara acara kegemaran saya sepanjang tahun.
"Setiap kali saya datang dan bermain di sini, saya dapat dengar peminat menjerit nama saya. Ia memang satu perasaan yang sangat menyenangkan untuk menerima sokongan mereka," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


