KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL) berbelanja besar pada jendela perpindahan musim panas ini dengan rekod 2.36 bilion pound (RM13.81 bilion), menurut syarikat kewangan Deloitte.

Penolong Pengarah Kumpulan Perniagaan Sukan Deloitte, Calum Ross menyifatkan perbelanjaan tinggi tersebut sebagai cerminan kadar pertumbuhan luar biasa kekayaan liga.

“14 kali jendela perpindahan musim panas diambil untuk mencapai jumlah 1 bilion pound dan ia hanya memerlukan tujuh jendela perpindahan untuk melepasi 2 bilion pound.

“Jadi, itu mencerminkan kadar pertumbuhan yang luar biasa yang tidak pernah kami lihat,” katanya.

Analisis Deloitte menunjukkan jendela perpindahan musim panas 2023 melepasi rekod sebelumnya iaitu sebanyak 1.92 bilion pound (RM11.23 bilion).

Chelsea antara pasukan yang berbelanja besar dengan beberapa pembelian pemain seperti tonggak tengah Moises Caicedo dari Brighton 100 juta pound (RM584 juta), 63 juta pound (RM368 juta) untuk penyerang, Christopher Nkunku dan melaburkan 40 juta pound (RM234 juta) ke atas Cole Palmer dari Manchester City.

“Terdapat 10 kelab yang telah membelanjakan lebih daripada 100 juta pound (RM584 juta). Saya fikir pada masa ini, lebih separuh daripada kelab telah membelanjakan lebih banyak daripada yang mereka lakukan musim lalu,” katanya. - Sinar Harian