Pasukan Kelantan kembali mendapatkan keyakinan untuk terus kekal di Liga Super, apabila mengejutkan Selangor 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Skuad 'The Red Warriors' yang kali terakhir mencatatkan kemenangan pada aksi liga dengan menewaskan Kedah 2-1 pada 5 Jun lepas, membuka jaringan menerusi sepakan lencong penyerang, Shafiq Shaharudin pada minit ke-34.

Skuad Gergasi Merah bangkit menyamakan kedudukan menerusi Sean Eugene Selvaraj pada minit ke-77, namun skuad kendalian Yusri Che Lah mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan Muhammad Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-85, untuk melakarkan kemenangan keempat liga bagi musim ini.

Sementara itu, PKNS FC pula menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk membenam Negeri Sembilan 5-3 di Stadium Shah Alam.

Skuad Semut Merah membuka jaringan seawal minit ke-10 melalui pemain tengah, Muhammad Faris Ramli, namun pasukan pelawat menyamakan kedudukan menerusi Khairul Anwar Shahrudin, pada minit ke-20.

PKNS FC terus menambah jaringan menerusi kapten pasukan Mohd Safee Mohd Sali dan Bruno Oliveira masing-masing pada minit ke-25 dan 30, sebelum Negeri Sembilan mengurangkan defisit menerusi pemain import dari Brazil, Flavio Beck Junior pada masa tambahan separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, PKNS FC meneruskan dominasi mereka dengan jaringan menerusi pemain import dari Colombia, Romel Oswaldo pada minit ke-46 dan Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada masa kecederaan.

Gol ketiga skuad Rusa pula dijaringkan oleh Osman Mohd Yusoff pada minit ke-49.

Pahang pula terpaksa berkongsi satu mata dengan PKNP FC apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Keputusan hari ini menyaksikan pasukan tercorot carta, Kelantan memintas Negeri Sembilan ke tempat ke-11 dengan 14 mata daripada 18 perlawanan, manakala Negeri Sembilan berada di tangga tercorot dengan 12 mata.

PKNP pula berada di tempat ke-10 dengan 19 mata menerusi 17 perlawanan. Dua pasukan tercorot Liga Super akan tersingkir ke Divisyen kedua, iaitu Liga Premier.

-- BERNAMA