BUKIT JALIL: Jaringan sepakan penalti Bahrain pada penghujung permainan meranapkan impian Malaysia untuk sekurang-kurangnya mendapat satu mata dalam saingan Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023.

Meskipun bermain baik sepanjang perlawanan namun keputusan pengadil dari Tajikistan, Sadullo Gulmorodi memberikan sepakan penalti kepada Bahrain mengecewakan puluhan ribu penyokong yang hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beraksi di hadapan lebih 63,000 penyokong, penonton disajikan permainan menarik sepanjang perlawanan namun dihampakan dengan beberapa keputusan 'kontroversi' pengadil.

Malaysia bermain dengan sangat baik terutamanya pada separuh masa pertama dengan mengawal permainan namun serangan bertubi-tubi ke gawang Bahrain gagal membuahkan hasil.

Begitupun, pasukan kebangsaan membuka tirai jaringan pada minit ke-55 selepas Mohamadou Sumareh menyudahkan hantaran lintang Ahmad Khuzaimi Piee.

Begitupun, kegembiraan penyokong Harimau Malaya tidak lama apabila Bahrain menyamakan kedudukan menerusi Ali Abdula Haram pada minit ke-57.

Gol penyamaan itu membuatkan permainan semakin rancak dengan Malaysia dan Bahrain saling berbalas serangan ke kubu lawan masing-masing.

Begitupun, menuju ke penghujung permainan, Bahrain dihadiahkan sepakan penalti selepas penjaga gol, Farizal Marlias menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Penyerang Bahrain, Abdulla Yusof Helal tenang menolak masuk bola ke gawang, menewaskan Farizal yang merebahkan badan ke arah berlainan.

Ketinggalan satu gol, Malaysia terus mengasak kubu Bahrain namun kekebalan benteng lawan dan ketumpulan barisan serangan negara diketuai Guilherme De Paula gagal mendapatkan gol penyamaan yang dicari.

Selepas ini Malaysia akan bertemu Bangladesh pada Selasa nanti dengan misi wajib menang untuk mencerahkan laluan layak ke saingan Piala Asia 2023 di China.