SUKAN

Kelayakan Piala Dunia: 'Semua sebab duit' - AFC dikritik pilih Arab Saudi, Qatar sebagai tuan rumah

Astro Arena 16/06/2025 | 01:10 MYT
Iraq, Oman dan UAE juga mengutarakan pandangan, meminta FIFA dan AFC bersikap adil selain bermain di venue neutral, tetapi keputusan itu kekal tidak berubah.
KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) menerima kritikan tanpa henti daripada peminat selepas mengumumkan Arab Saudi dan Qatar sebagai tuan rumah dalam pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026.

Enam pasukan termasuk tuan rumah bersama Indonesia, Iraq, Oman dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) bakal berpeluang merebut slot secara merit selepas menduduki tempat ketiga atau keempat dalam kumpulan masing-masing dalam pusingan ketiga sebelum ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, enam pasukan tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan hanya juara akan mendapat tiket ke Piala Dunia 2026.

Kesemua pasukan itu akan bersaing dengan format berpusat dari 8 hingga 14 Oktober depan.

Undian bagi pusingan keempat akan berlangsung pada 17 Julai ini.

Dalam pada itu, naib juara setiap kumpulan akan berdepan sesama sendiri pada 13 dan 18 November depan dan pemenang bagi pertemuan itu akan layak ke Kejohanan Playoff Piala Dunia antara benua dari Amerika, Afrika dan Oceania.

Khabar angin Arab Saudi dan Qatar menjadi tuan rumah sudah mula tersebar sebelum pengumuman rasmi AFC pada 13 Jun.

Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) telah mengemukakan petisyen pada 7 Jun kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC, dengan meminta ketelusan mengenai proses pemilihan tuan rumah itu.

Ramai yang mempersoalkan keputusan tersebut apabila seharusnya dua pasukan yang memiliki persembahan paling baik wajar dipilih selaku pengelola dan dalam konteks tersebut UAE dan Iraq yang perlu diberikan keutamaan.

Namun, perkara sebaliknya berlaku.

Sejurus itu, Iraq, Oman dan UAE juga mengutarakan pandangan dengan meminta kedua-dua badan induk itu untuk bersikap adil selain bermain di venue neutral tetapi keputusan itu kekal tidak berubah.

Dalam beberapa jam selepas pengumuman AFC di Facebook, ia berdepan puluhan ribu interaksi dengan kebanyakannya melemparkan komen negatif.

Ada yang menuduh AFC pilih kasih dan mempersoalkan integriti proses pemilihan.

"Nampaknya AFC mahu Qatar dan Arab Saudi layak," tulis seorang pengguna.

"Ini semua disebabkan duit," komen seorang lagi.

Acara bola sepak utama terkini di Asia sebahagian besarnya telah diadakan di rantau Barat. Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, Piala Asia 2023 dan Piala Asia bawah 23 tahun (U-23) 2024.

Arab Saudi bersedia menjadi tuan rumah Piala Asia B-23 2026, Piala Asia 2027 dan Piala Dunia 2034.

Walaupun negara Asia Barat terkenal dengan infrastruktur dan sokongan kewangan mereka, bilangan pilihan dianugerahkan hak selaku hos telah menzahirkan kebimbangan yang semakin meningkat di kalangan peminat bola sepak.






#afc #Qatar #Piala Dunia 2026 #tuan rumah pusingan keempat