IPOH: Kemelut kepimpinan dalaman yang melanda Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) akhirnya mengakibatkan badan induk itu digantung sehingga enam bulan kerana berlaku ketidakpatuhan terhadap Perlembagaan persatuan.

Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan yang dikemukakan daripada kedua-dua pihak iaitu PAFA dan Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan PAFA.

Menurutnya, PJS akan mengeluarkan notis pergantungan kepada PAFA dalam tempoh terdekat selain badan induk itu turut diminta mengemukakan surat maklum balas dalam tempoh 14 hari daripada tarik notis dikeluarkan.

Selain itu, Ibrahim berkata, pemecatan 12 Ahli Gabungan PAFA  yang diumumkan pada November tahun lalu juga adalah tidak sah kerana tidak mengikut Perlembagaan persatuan

“Kita mendapati pemecatan itu dibuat secara tidak teratur, berdasarkan kepada Perlembagaan PAFA. Itu keputusan yang kita dapati dan juga telah dimaklumkan kepada kedua-dua belah pihak.

“Dan semakan ke atas kongres yang diadakan Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan PAFA yang mana telah diterajui Persatuan Bola Sepak Melayu Perak juga didapati tidak terpakai kerana ada masalah teknikal berhubung kelayakan ahli-ahli gabungan.

“Berdasarkan rekod yang kami perolehi, kami dapati mereka ini tidak membayar yuran keahlian PAFA. Justeru mereka tidak boleh mengdakan kongres seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan kira-kira sejam bersama PAFA dan Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan PAFA di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, dekat sini pada Isnin.

Pertemuan dihadiri wakil daripada kedua-dua pihak antaranya Naib Presiden PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad sementara Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan PAFA diwakili Tajul Hasnan Omar.

Dalam pada itu, Ibrahim menjelaskan, PAFA diminta untuk segera mengadakan kongres ataupun pemilihan bagi memberi ruang kepada pemilihan barisan kepimpinan baharu dalam tempoh pergantungan yang dikenakan.

Katanya, tempoh pergantungan akan disemak semula PJS sebaik sahaja pemilihan jawatankuasa kepimpinan baharu badan induk itu selesai dimuktamadkan nanti.

Jelas beliau lagi, ketika ini PJS hanya mengiktiraf kepemimpinan PAFA setakat bagi penggal 2018-2021.

“Berdasarkan kepada Perlembagaan PAFA, persatuan itu perlu mengadakan pemilihan sebelum tamat tempoh penggal. Apabila ada pelepasan jawatan, persatuan perlu mengadakan kongres untuk pemilihan pemangku presiden.

“Ini bermakna pelantikan presiden baharu perlu diadakan segera. Jadi, apabila tidak diadakan, ada pihak yang mendesak supaya diadakan dan diselesaikan mengikut Perlembagaan.

“Bukan sahaja PAFA, malah ada juga persatuan-persatuan lain yang mana mereka tidak memahami Perlembagaan masing-masing. Jika kepimpinan faham proses dan Perlembagaan, saya rasa tidak timbul pertikaian dalaman seperti ini,” ujar Ibrahim.