PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, gembira selepas juara Liga Super itu kembali mendapatkan rentak kemenangan.

Aksi Liga Super semalam menyaksikan JDT kembali dapat semula momentum kemenangan dengan menundukkan Melaka United 3-0.

Biarpun tanpa Natxo Insa, Mora tidak menghadapi masalah untuk meletakkan pemain seperti Daniel Amir di tengah, di samping Haziq Nadzli yang beraksi buat kali pertama musim ini, serta Mohamadou Sumareh.

Mora turut memberi pandangannya mengenai hukuman penggantungan dua perlawanan serta denda RM10,000 yang dikenakan ke atas pemain itu.

"Apa yang dilakukan Insa adalah salah dan kini dia berdepan penggantungan. Kami mengetahui ia adalah perkara yang salah dan tidak mahu berkelahi dengan pengadil dan akan memperbaiki permainan kami selepas ini," kata Mora.

Bagi pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan, terus buntu apabila anak buahnya masih mengulangi kesilapan sama, memberikan gol-gol mudah kepada lawan, terutamanya gol kedua yang dijaringkan Bergson da Silva, hasil salah faham komunikasi antara penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan pemain import Korea Selatan, Jang Suk-won.

"Saya mengakui kesilapan dipamerkan Suk-won menjejaskan permainan mereka dan berharap perkara sebegini tidak berulang kerana kami memerlukan mereka beraksi di tahap terbaik bagi membantu pasukan," kata Zainal.