TOTTENHAM 1 NEWCASTLE UNITED 1

Steve Bruce menggesa barisan pengurus Liga Perdana Inggeris (EPL) agar bersatu hati menuntut tindakan ke atas keputusan yang boleh "merosakkan keghairahan" bola sepak selepas pasukan bimbingannya, Newcastle United, mengambil kesempatan ke atas sepakan penalti kontroversi untuk mencatat keputusan seri 1-1 di Tottenham, tengah malam tadi.

The Magpies gagal memperagakan prestasi terbaik di Stadium Tottenham Hotspur selain dikekang daripada melepaskan percubaan tepat sebelum Eric Dier berdepan hukuman kejam akibat bola terkena tangannya ketika cuba menyaingi tandukan Andy Carroll sebelum wisel penamat.

Keputusan pengadil, Peter Bankes, untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat selepas meneliti melalui rakaman memberi ruang buat Callum Wilson menyamakan kedudukan 1-1 dari jarak 12 ela, maka tidak hairanlah mengapa Jose Mourinho berkelakuan berang sambil mengunci mulutnya ketika menuju ke terowong bilik persalinan.

Insiden terbaru itu menguatkan lagi hujah beberapa pengurus yang menganggap situasi berkenaan akan merosakkan nilai permainan, terutama berkaitan dengan peraturan bola terkena tangan selepas pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, membangkitkan isu sama dalam kekalahan kepada Everton, minggu lalu.

Sehubungan itu, Bruce, yang pasukannya kini menghasilkan tiga gol dalam tiga percubaan tepat EPL musim ini, memahami kemarahan tersebut yang menyaksikan Wilson dengan tenang memadam jaringan pembukaan Lucas Moura.


"Saya faham mengapa Spurs mengamuk termasuk Roy Hodgson memberi reaksi serupa," katanya kepada Sky Sports.

"Ia memang mengarut, kami seharusnya melompat kegembiraan (meraikan gol) tetapi hati saya pasti akan berkecai jika ia terjadi kepada kami.

"Mungkin (apa yang disuarakan) Roy itu ada betulnya, mungkin kami semua perlu sepakat. Keputusan seperti ini akan merencatkan keghairahan menonton perlawanan. Sebagai pengurus, kami perlu berkumpul dan sepakat mengatakan perkara ini perlu dihentikan.

"Sekiranya penjaga gol kami tidak beraksi dengan baik dalam babak pertama, kami pasti tidak akan dapat bersaing. Dalam separuh masa kedua, kami beraksi dengan lebih baik dan mencetuskan sedikit ancaman.

"Penjaga gawang memastikan kami meraih satu mata dan kami memang berhak dengan keputusan ini."