ALOR SETAR: Pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia akan menerima insentif bernilai RM25,000 daripada kerajaan negeri Kedah susulan kejayaan anak kelahiran Alor Setar itu muncul juara Kejohanan Badminton All England, bulan lalu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan seorang lagi pemain iaitu Pearly Tan turut akan menerima insentif sebanyak RM10,000 susulan kejayaan anak kelahiran negeri Kedah itu muncul Juara Terbuka Switzerland yang diadakan pada awal Mac bagi kategori beregu wanita bersama pasangannya M. Thinaah.

Menurutnya, pemberian insentif kepada kedua-dua anak jati negeri Jelapang Padi itu adalah bagi menghargai hasil usaha mereka khususnya dalam mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa majlis sambutan yang dirancang buat Lee Zii Jia sebelum ini akan diadakan selepas pemain itu menerima pelepasan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ianya selepas pemain itu ketika ini sedang terikat dengan beberapa latihan khas dalam menghadapi beberapa kejohanan utama selepas ini selain turut menjadi antara prospek penyumbang emas pertama negara dalam Sukan Olimpik akan datang.

"Dia terikat dengan latihan untuk menghadapi beberapa kejohanan (seperti) Terbuka India dan Lee Zii Jia adalah sasaran Malaysia untuk memenangi pingat emas Olimpik pertama Malaysia, jadi jadual latihan dia ketat kita tunggu sehingga di dapat balik baru kita serah, kita nak raikan dia,

"Kita tidak boleh ganggu jadual dia, kita akan buat 'ceremony' sehingga dia dilepaskan sikit untuk balik daripada jadual latihan dia, kita tidak akan ganggu jadual latihan dia, kita dah bersedia dengan RM25,000 untuk beri kepada dia, Pearly (akan menerima) RM10,000 (dan dia) juga masih terikat dengan latihan, ada pelepasan daripada BAM, kita akan buat (sambutan) sekali," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas Mesyuarat Mingguan EXCO Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Zii Jia sebelum ini mencipta sensasi apabila muncul juara Kejohanan Badminton All England selepas menewaskan pemain dari Denmark, Viktor Axelsen menerusi 'rubber set' 30-29, 20-22, 21-9 dalam aksi final.

Beberapa minggu sebelum itu, Pearly Tan dan M. Thinaah turut mencipta sejarah apabila muncul beregu wanita pertama negara memenangi kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300 apabila menumpaskan gandingan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-19, 21-12 dalam aksi final terbuka Switzerland.