Kes amang seksual: PKBM gantung lesen Nur Effandy

Nur Effandy, 58, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang didakwa berlaku pada Jun 2024 di sebuah setor basikal. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menggantung lesen jurulatih berbasikal Nur Effandy Rosli selepas beliau dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan amang seksual fizikal melibatkan seorang pelatih wanita hari ini.
Ringkasan AI
- PKBM menggantung lesen jurulatih Nur Effandy Rosli selepas beliau didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatih wanita bawah umur, sebagai langkah mitigasi risiko sehingga perbicaraan selesai.
- Nur Effandy, 58, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang didakwa berlaku pada Jun 2024 di sebuah setor basikal di Taman Desa Keramat; mangsa berusia 15 tahun.
- Presiden PKBM menegaskan badan itu tidak akan bertoleransi terhadap sebarang salah laku, khususnya melibatkan pelatih bawah umur, dan akan terus memantau kes ini dengan serius.
"Saya ingin memberi jaminan kepada semua pihak bahawa PKBM tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pemegang lesen yang didapati melanggar peruntukan perundangan negara, Kod Sukan Selamat dan Kod Etika UCI, lebih-lebih lagi yang melibatkan atlet atau pelatih bawah umur," katanya dalam kenyataan PKBM dikongsi kepada media hari ini.
PKBM juga mengesahkan pada masa kesalahan itu dikatakan berlaku, tertuduh bukanlah jurulatih pasukan kebangsaan atau jurulatih pasukan mana-mana negeri, dan beliau hanya jurulatih kepada kelabnya sendiri.
Nur Effandy yang memenangi pingat perak pada Sukan Komanwel 1998 menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang pagi ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatih berbasikal perempuan berusia 15 tahun sekitar Jun tahun lepas.
Tertuduh yang berusia 58 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Dia didakwa melakukan amang seksual pada 6 petang sekitar Jun 2024 di dalam sebuah setor simpanan basikal di medan seleras Taman Desa Keramat, Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami