MOHAMED Salah menerima pujian tinggi daripada pengendali Liverpool, Jurgen Klopp selepas mencapai satu lagi kejayaan dalam kemenangan 3-0 ke atas Brentford pada Ahad yang melonjakkan pasukan itu ke tempat kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain Mesir berusia 31 tahun itu menjaringkan gol pada setiap babak permainan untuk merekodkan 200 gol dalam saingan EPL dan menjadi pemain pertama yang pernah menjaringkan gol dalam setiap enam perlawanan pertama Liverpool musim ini.

"Gila," kata Klopp mengagumi Salah yang sebelum ini dilaporkan menerima bidaan £150 juta (RM863.32 juta) daripada Al-Ittihad pada jendela perpindahan musim panas lalu.

"Gol no. 200 di England, bukan? Luar biasa, dia bermain permainan yang hebat hari ini. Dua pemain sentiasa mengawal di sekelilingnya namun, dia mampu mengekalkan bola.

"Kami mempunyai begitu banyak detik baik separuh masa pertama. Ketenangannya (Salah) untuk gol pertama adalah gila. Tidak syak lagi dia pemain yang istimewa," katanya.

Liverpool masih belum tewas di Anfield musim ini dalam semua pertandingan dan berjaya memenangi perlawanan liga keenam berturut-turut ketika menewaskan Brentford.

Klopp turut gembira dengan kebangkitan pasukannya selepas tewas 2-3 di Toulouse dalam peringkat kumpulan Liga Europa pada Khamis.

“Saya sangat berbesar hati menggunakan peluang itu... kalah menentang Toulouse dan kemudian bertindak balas seperti yang kami lakukan hari ini,” katanya. - Sinar Harian