PELARI terpantas negara Khairul Hafiz Jantan optimis meraih tiga pingat emas jika diberi peluang beraksi dalam tiga acara pilihannya pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan depan.

Beliau yang mencipta rekod baharu acara 200 meter semalam dengan catatan 20.90 saat berkata keputusan mengenai acara yang disertainya pada temasya dwitahunan itu akan ditentukan oleh jurulatih Mohd Poad Md Kassim.

"Keputusan acara apa yang saya akan bertanding nanti terpulang kepada jurulatih kerana beliau yang lebih mengetahui kemampuan saya. Sebagai seorang atlet, tugas saya hanya berlatih dan cuba sentiasa menghasilkan keputusan yang baik," katanya kepada pemberita pada sidang media Program Kita Juara 2017 bersama-sama skuad olahraga di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini.

Pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang berakhir semalam, Khairul Hafiz yang terkenal dengan jolokan 'The Speedy Jantan' memadam rekod 49 tahun Tan Sri Dr M.Jegathesan yang mencatatkan 20.92s pada Sukan Olimpik Mexico 1968.

Atlet kelahiran Melaka berusia 18 tahun itu memberi jaminan bahawa semua tanggungjawab yang diletakkan di bahunya pada KL2017 itu akan digalasnya dengan penuh bersemangat.

"Saya berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan kejayaan saya. Saya berjanji untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan penuh semangat dan keyakinan," katanya.

Khairul Hafiz sebelum ini menggegar dunia olahraga negara apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 100m milik Watson Nyambek (10.30s) selepas merakam kepantasan 10.18s pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016 Julai lepas.

Dalam pada itu, beliau mengakui peluang beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sepanjang Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia itu memberikannya sedikit kelebihan menjelang temasya Sukan SEA nanti.

"Saya sudah mula mendapat bayangan serta rentak untuk berlari pada Sukan SEA nanti selepas berpeluang menguji dan merasai sendiri keadaan trek sebenar sepanjang minggu ini.

"Sejujurnya saya tidak takut tetapi tidak juga terlalu yakin kerana segala persiapan telah dibuat dengan rapi bersama jurulatih saya yang sentiasa mempunyai keyakinan terhadap kemampuan saya," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara pecut pada Sukan SEA adalah pada edisi 2003 di Vietnam menerusi bekas raja pecut negara Nazmizan Muhammad yang merangkul emas berganda dalam acara 100m dan 200m.

-- BERNAMA