Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini mengesahkan laporan seorang atlet kebangsaan yang telah gagal ujian doping dalam satu kejohanan antarabangsa baru-baru ini.

Namun demikian, Khairy memaklumkan pihaknya tidak akan mendedahkan identiti atlet tersebut sehingga keputusan sampel B dikeluarkan dan ianya sah positif.

“Mengikut peraturan yang ditetapkan persatuan antarabangsa sukan berkenaan, mereka tidak akan mengumumkan nama atlet tersebut sehingga keputusan ujian sampel B selesai.

“Maka kita juga tidak akan mengumumkan nama atlet tersebut sehingga ujian sampel B dibuat. Saya tidak akan mengumumkan nama atlet ini sehinggan sampel B diuji bagi memberi perlindungan kepada atlet tersebut dan juga mematuhi peraturan yang ditetapkan persekutuan antarabangsa sukan terbabit,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Khairy, Agensi Doping Malaysia (ADAMAS), persatuan kebangsaan sukan berkenaan dan juga atlet tersebut telah pun dimaklumkan tentang perkara ini melalui surat dari persekutuan antarabangsa sukan terbabit yang bertarikh 1 Oktober 2014.

Katanya atlet tersebut turut terkejut dengan keputusan itu namun telah memberi kerjasama penuh kepada persatuan sukan kebangsaan dan ADAMAS.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan garis panduan Agensi Antidoping Antarabangsa (WADA), atlit yang gagal ujian doping diberi peluang untuk mengambil ujian sampel kedua iaitu sampel B.

“Atlet tersebut diberi sehingga 17 Oktober untuk memohon ujian sampel B. Beliau telah pun membuat permohonan tersebut pada 16 Oktober dan sedang menunggu maklumbalas daripada persekutuan sukan antarabngsa berkenaan tentang tarikh ujian Sampel B,” jelasnya.

Mengulas lanjut tentang isu tersebut, katanya beliau telah pun mengetahui tentang keputusan ujian sampel A lebih awal lagi.

Justeru, katanya siasatan telah pun bermula sejak hampir dua hingga tiga minggu lalu untuk mengetahui lebih jelas apa yang telah berlaku.

Selain itu, beliau juga dimaklumkan bahawa atlet tersebut ingin menyaksikan sendiri sampel itu dibuka dan beliau telah pun diberi kebenaran untuk berbuat demikian,

“Kalau positif baru gugur… kalau negatif dia kekal lah,” kata Khairy ketika ditanya mengenai kedudukan atlet itu dalam kejohanan sukan yang terbabit.

Katanya lagi, setakat ini pihak Kementerian telah pun menubuhkan jawatankuasa ad hoc yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Aziz dan dibantu oleh Ketua Unit ADAMAS, Nishel Kumar.

Jelas Khairy, dalam jawatankuasa tersebut, pihaknya akan mendapatkan pakar-pakar anti-doping serta pakar perubatan bagi menyiasat rawatan ke atas atlet untuk memastikan tiada bahan yang tidak dibenarkan diguna pakai dalam rawatan tersebut.

Selain itu, Khairy juga tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan ujian saringan lebih kerap terhadap para atlet bagi mengelak kejadian ini berulang.

Sementara itu, Khairy berkata pihaknya memandang serius perkara ini kerana Malaysia pernah menjadi ahli lembaga WADA yang komited kepada dasar zero toleran kepada doping.

“Kita akan selidik semula pendidikan dan pendedahan yang diberi kepada para atlet. Ia adalah tanggungjawab sepenuhnya pada atlet, oleh itu atlet tidak boleh beri alasan jurulatih yang bagi bahan tersebut… dia mesti bertanggungjawab tentang apa sahaja yang dia makan dan rawatan yang dia terima,” tegasnya.

Khairy ditemui ketika mengadakan sesi walkabout bersama timbalannya, Datuk M. Saravanan di Little India, Brickfields kira-kira jam 5.00 petang.

Walkabout itu diadakan sempena sambutan Hari Deepavali.

Misteri ikon sukan negara yang dikaitkan dengan isu positif doping terus tersebar sejak semalam.

Atlet itu dikatakan positif doping dalam satu kejohanan besar pertengahan tahun ini, apabila sampel A ke atas dirinya didapati positif baru-baru ini.

Bagaimanapun pengesahan mengenainya dan nama atlet terbabit hanya akan diketahui selepas ujian sampel B disahkan.

Sehingga ujian Sampel B dibuat, sebarang keputusan dalam kejohanan yang disertai atlet berkenaan tidak akan dilakukan.

Ini merupakan kes doping kedua di Malaysia dalam tempoh sebulan selepas atlet Wushu, Tai Cheau Xuen telah dilucutkan pingat emas di Sukan Asia di Incheon bulan lalu setelah positif mengambil bahan sibutramine.