SUKAN
Khairy: Tahap keselamatan SUKMA perlu diketatkan
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyarankan tahap keselamatan Sukan Malaysia, SUKMA 2014 di Perlis diperketatkan.
Ia bagi memastikan insiden kes rogol yang dilaporkan pada temasya SUKMA di Kuala Lumpur yang lalu tidak berulang.
" Saya rasa untuk SUKMA seterusnya di Perlis, kita perlu lebih tegas dalam memperketatkan undang-undang keselamatan.
"Secara jujurnya saya amat kecewa dengan tahap keselamatan di mana atlet terbabit mudah membawa masuk minuman beralkohol ke kawasan premis perkampungan sukan.
"Saya mahu Majlis Sukan Negara (MSN) teliti perkara ini," kata Khairy ketika ditemui pada Pogram Fellow Perdana bagi penuntut dan lepasan Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara.
Khairy enggan mengulas lanjut mengenai kes rogol yang dilaporkan berlaku, di perkampungan sukan di Universiti Putra Malaysia kerana ia sudah menjadi kes polis.
Tiga atlet lelaki dari pasukan bola baling Wilayah Persekutuan dilaporkan ditahan Polis bagi membantu siasatan.
Mangsa merupakan pegawai pengiring tambahan pasukan berkenaan yang baru berusia 19 tahun.
Ketiga-tiga mereka juga dijatuhkan hukuman gantung oleh Persekutuan Bola Baling Malaysia, PBBM kerana membawa masuk minuman beralkohol ke kawasan perkampungan sukan.
Turut menerima tempias akibat kejadian itu adalah pengurus, jurulatih dan seorang pegawai kanan pasukan bola baling berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami