KELANA JAYA: Jurulatih berusia 53 tahun dari Korea Selatan, Kim Pan-gon dilantik menjadi Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baharu, menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan sebelum ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jurulatih tersebut bersama empat pasukan teknikalnya akan tiba ke Malaysia pada Februari depan.

Menurutnya, Kim diberikan kontrak 'two plus two', dua tahun kontrak awal dan kemudian sekiranya FAM berpuas hati, kontrak dua tahun lagi akan ditawarkan.

"Pelantikan jurulatih baharu ini tidak akan selesaikan prestasi Harimau Malaya secara keseluruhan. Ini dapatan saya sendiri, selepas bincang dengan banyak pihak.

"FAM dan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) berpendapat kelab dari liga tempatan perlu sediakan pemain berkualiti. Masalah yang membelenggu kelab di Malaysia, (mereka) perlu siapkan pemain profesional dan berkualiti.

"Masalah seperti tunggakan gaji, tiada padang latihan sempurna, tiada 'minimum requirement', beberapa perkara yang mudah tidak dapat disediakan kelab. Bukan semualah, ada beberapa.

"Tanpa perkara di atas, kelab-kelab tak mampu keluarkan pemain berkualiti," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Khas Eksekutif FAM Bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM, di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, pelantikan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa kriteria penting termasuk memahami bola sepak Malaysia, pernah melatih beberapa pasukan kebangsaan dan mempunyai rangkaian antarabangsa.

Jelasnya, FAM menerima banyak permohonan dari seluruh dunia dan Hamidin menyatakan Kim paling layak selepas pihaknya menyenarai pendek tiga nama.

Dalam pada itu, ketika ditanya petunjuk prestasi utama (KPI) buat jurulatih baharu tersebut, ini jawapan Hamidin:

"Kita kena beri tempoh dua tahun (kepada Pang-gon). Selepas dua tahun kita lihat tapi sudah semestinya kita mahu layak ke Piala Asia," ujarnya.

Pelantikan itu sekali gus menamatkan persoalan siapakah yang bakal menduduki kerusi panas tersebut selepas peletakan jawatan Cheng Hoe awal tahun ini.

Sebelum ini, media melaporkan Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar berkata, Cheng Hoe telah menyatakan hasratnya itu berikutan kegagalan Harimau Malaya melangkah ke saingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura baru-baru ini.