KUALA LUMPUR:Bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Datuk Ong Kim Swee sah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu berkuat kuasa 1 Jan baru-baru ini.

Pelantikan Kim Swee itu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Peter de Roo yang mengumumkan keputusan untuk mengundur diri setelah tamat kontrak pada penghujung 2020.

Kim Swee, 50, sebelum ini menyandang jawatan sebagai Penolong Pengarah Teknikal merangkap Ketua Unit Belia FAM dikaitkan dengan jawatan itu sejak September lepas.

Menurut FAM dalam kenyataan hari ini, dengan pengalaman luas sebagai pemain dan jurulatih di pelbagai peringkat, Kim Swee yang juga Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PBJM) dilihat sebagai calon terbaik untuk mengisi jawatan Pengarah Teknikal FAM.

Bekas pemain tengah Melaka, Sarawak dan Sabah pada era 1990-an itu memulakan karier kejurulatihan sebagai ketua jurulatih Melaka sebelum namanya melonjak sebagai jurulatih yang berjaya mencungkil bakat muda negara bermula sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan seterusnya menjadi peneraju utama skuad Harimau Muda.

Kemuncaknya, beliau berjaya membawa skuad B-23 kebangsaan meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, dan disusuli pingat perak Sukan SEA 2017 di laman sendiri, selain turut mengemudi pasukan muda negara melakar sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di China dan layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Kim Swee juga pernah dilantik sebagai pengendali sementara skuad Harimau Malaya sebanyak dua kali iaitu dari 3 Feb hingga 28 Jun 2014 selepas kontrak Datuk K. Rajagobal sebagai ketua jurulatih kebangsaan tamat, selain dari 5 Sept 2015 hingga 18 Jan 2016 selepas Dollah Salleh meletak jawatan.

Bekas pemain kebangsaan itu akhirnya dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan dari 18 Jan 2016 hingga 25 Mac 2017.

Selepas itu, beliau diamanahkan untuk mengendalikan skuad B-22 negara bagi menghadapi Sukan SEA 2017, sebelum kontraknya ditamatkan pada hujung 2019 berikutan pasukan negara gagal mara ke separuh akhir selepas menduduki tempat keempat peringkat kumpulan pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

-- BERNAMA