Ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee mengambil keputusan menggugurkan tiga daripada senarai 26 pemain untuk saingan Piala AFF 2016 di Yangon, Myanmar, bermula Ahad ini.

Tiga pemain berkenaan adalah kapten Perak, Mohamad Nasir Basharudin; pemain pertahanan Melaka United, Ahmad Khuzaimi Piee dan pemain sayap T-Team Mohd Safawi Rasid.

Mohamad Nasir dan Ahmad Khuzaimi, jelas Kim Swee terpaksa digugurkan kerana belum pulih daripada kecederaan dialami ketika sesi latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, sebelum ini.



"Bukan mudah untuk saya menggugurkan tiga pemain ini, tetapi peraturan kejohanan menyebabkan saya terpaksa mengambil keputusan ini dan saya berharap tiga pemain ini, yang saya sifatkan agak muda masih berpeluang mewakili negara pada masa depan," katanya pada sidang media pengumuman 23 pemain skuad Harimau Malaysia, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Kim Swee berkata Mohd Safawi terpaksa digugurkan kerana tiga pemain lain boleh beraksi di posisi sayap kiri iaitu kapten pasukan Mohd Amri Yahyah (Johor Darul Ta'zim I), Mohd Hadin Azman (Felda United) dan pemain Kedah, Mohd Syazwan Zainon.

"Kita tahu Mohd Safawi masih muda dan boleh beraksi dengan skuad bawah 22 tahun kebangsaan dan saya percaya dia ada masa depan yang cukup cerah," katanya.

Kim Swee turut percaya walaupun barisan kali ini terdiri daripada adunan pemain muda dan berpengalaman, mereka menunjukkan kematangan pada beberapa aksi persahabatan antarabangsa, sebelum ini.

Sementara itu, Mohd Amri yang diberi tanggungjawab menggalas tugas selaku kapten pada edisi kali ini, yakin rakan sepasukan mampu memberi saingan sengit kepada tiga pencabar mereka dalam Kumpulan B walaupun sedar tekanan tinggi daripada peminat tempatan yang dahagakan kejayaan skuad kebangsaan.

"Alhamdulillah, setakat ini rakan sepasukan berikan komitmen tinggi dan saya pun tak sabar untuk beraksi pada edisi kali ini.

"Tekanan memang selalu ada tapi kita kena ambil ia sebagai satu cabaran dan hadapi satu demi satu perlawanan," kata pemain tengah JDT itu.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Kemboja pada Ahad ini, diikuti pertemuan dengan Vietnam pada 23 Nov, sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang tuan rumah Myanmar, selang tiga hari kemudian.

Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Pusat Latihan Belia Thuwunna, Yangon.

Senarai 23 pemain
-----------------

Penjaga gol - Mohd Khairulazhan Mohd Khalid (Selangor), Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak) Pemain pertahanan - Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Mohd Saad (Perak); Mohamad Fadhli Mohd Shas (Johor Darul Ta'zim I/JDT I); Ronny Harun (Sarawak); Matthew Thomas Davies (Pahang); Mohd Shahrom Kalam (Selangor); Mohd Rizal Mohd Ghazali, Khairul Helmi Johari (Kedah).

Pemain tengah - Baddrol Bakhtiar, Mohd Syazwan Zainon (Kedah); Mohd Amri Yahyah (JDT I), Mohd Irfan Fazail, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (JDT II), Mohd Hadin Azman dan Ahmad Fakri Saarani (Felda United), S. Veenod (Selangor) Penyerang - Mohd Safee Sali (JDT I), Darren Lok (JDT II), Norshahrul Idlan Talaha (Terengganu), Ahmad Hazwan Bakri (Selangor). -- Bernama