PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menafikan dakwaan segelintir penyokong kelab itu yang mengatakan beliau mengamalkan sikap ‘pilih kasih’ dalam pemilihan pemain bagi mengharungi saingan Liga Super.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, kemampuan setiap pemain akan dinilai sebelum disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan bagi menghadapi sesuatu perlawanan.

“Apabila saya menubuhkan satu pasukan baharu Sabah FC, sebenarnya tidak timbul soal isu yang mana saya harus menurunkan pemain tempatan ataupun pemain daripada mana sekalipun.

“Apa yang penting bagi saya, jika mereka mampu beraksi sebagai kesebelasan utama mereka tetap akan diturunkan dan setiap pemain yang diturunkan mereka bukan beraksi untuk diri sendiri.

“Tetapi mereka memakai lencana kebanggaan di dada iaitu Sabah FC dengan memastikan mereka mampu mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

“Saya tidak nampak ini merupakan sebagai satu isu utama kecuali ada segelintir dalam kalangan mereka sengaja untuk menimbulkan masalah ini sehingga mengganggu perjalanan pasukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan segelintir penyokong Sabah FC selepas beliau tidak menyenaraikan pemain tempatan dalam aksi pertama Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Likas Jumaat lalu.

Kim Swee turut mengulas mengenai pertemuan dengan PJ City FC pada Rabu yang disifatkan sebagai satu cabaran besar kepada pasukannya meskipun The Phoenix tidak dibarisi pemain import.

“Kita tahu pasukan PJ City FC sudah bersama-sama lebih kurang tiga tahun dengan pemain yang sama dan mereka membuktikan walaupun beraksi tanpa pemain import mereka mampu bermain dengan cemerlang.

“Sudah tentu ini merupakan satu tugasan yang lebih mencabar dan saya percaya pasukan PJ City merupakan satu pasukan yang cukup baik walaupun tanpa pemain import.

“Kita tahu kekuatan pemain PJ City FC yang berpengalaman termasuk K Gurusamy, Darren Lok, S Kumaahran dan Mahali Jasuli.

"Mereka merupakan bekas pemain kebangsaan tetapi mereka masih lagi mempunyai nilai persembahan yang cukup baik.

“Kita tidak boleh hilang fokus dan harus kekal fokus sehingga akhir perlawanan. Seharusnya kita mesti mencapai keputusan positif menentang PJ City FC nanti,” ujarnya.

*Berita asal di Sinar Harian