KAJANG: Kod Sukan Selamat yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tahun lepas akan dilaksanakan di semua sekolah arus perdana pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.

Beliau berkata perkara itu perlu memandangkan terdapat kumpulan besar yang terlibat dengan aktiviti sukan di peringkat sekolah, selain kod tersebut sudah diperluaskan ke sekolah sukan dan universiti menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) serta institusi pengajian tinggi (IPT) tahun lepas.

"Sekolah ada kumpulan yang besar terlibat dengan sukan. Di sekolah ada atlet, guru, ibu bapa dan jurulatih, jadi Kod Sukan Selamat menjadi panduan perlu diperkembangkan dalam masyarakat secara lebih berkesan.

"Apabila kod ini berjaya diperkenalkan di sekolah, kita mahu ia dilaksanakan untuk aktiviti kokurikulum, pendidikan jasmani dan kesihatan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kejohanan Cabaran Sukan Wanita Kebangsaan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini hari ini.

Kod Sukan Selamat diperkenalkan pada Mac lepas oleh KBS susulan komitmen kesemua Exco Belia dan Sukan negeri yang menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan kod berkenaan.

Ia merupakan garis panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat, selain menekankan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan serta penderaan dalam sukan.

Mengenai Kejohanan Cabaran Sukan Wanita Kebangsaan, Adam Adli berkata penganjuran sukan terbuka seperti itu perlu diperbanyakkan dalam usaha merapatkan jurang gender sekali gus membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat.

"Kita akan buat secara berterusan acara seperti ini kerana ia termasuk dalam kerangka dasar tetap yang kita kemukakan sebelum ini," katanya.

Cabaran Sukan Wanita yang dianjurkan KBS menyasarkan penglibatan 3,500 peserta merangkumi peringkat zon dan kebangsaan membabitkan acara bola jaring, bola baling, bola tampar dan sukan elektronik (Mobile Legends: Bang Bang).

-- BERNAMA