KUALA LUMPUR: Badang negara Mohamad Aniq Kasdan menyasarkan untuk memperbaiki teknik angkatan 'clean and jerk' dalam misi memburu emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 bulan depan.

Mohamad Aniq yang mengakui agak gementar untuk membuat penampilan pertama di Sukan Komanwel bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini, berkata beliau akan berkampung selama 30 hari di Lampung, Indonesia sebagai persediaan.

Atlet berusia 20 tahun dari Segamat, Johor itu berkata Lampung menjadi lokasi pilihan bagi mendapatkan semangat berjuang di peringkat antarabangsa dan kekal fokus dalam latihan bersama jurulatihnya, Naharuddin Mahyudin.

"Coach tidak pernah memberi sebarang tekanan, malah beliau selalu percaya kepada kebolehan diri saya, oleh itu saya tenang dan sentiasa yakin dengan diri sendiri. Saya berharap persediaan di Indonesia dapat membantu saya memberi aksi terbaik nanti," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata skuad kebangsaan akan melakukan persediaan di Indonesia bermula minggu depan dan berlepas ke England lima hari sebelum kejohanan berkenaan bermula.

Beliau menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi pingat di Kejohanan Dunia, dengan memenangi pingat perak acara 'clean and jerk' dengan angkatan 142kg, tetapi menduduki tempat kelima keseluruhan bagi bebanan keseluruhan 249kg itu.

Ditanya mengenai kepercayaan yang diletakkan ke atasnya untuk membawa pulang pingat emas dari Birmingham, beliau berkata ia membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk mempamerkan angkatan terbaiknya.

"Perasaan lagi semangat bila mereka percaya pada saya jadi sudah semestinya yakin dengan kebolehan saya," katanya.

-- BERNAMA